GAMBAR hiasan
Junaidi Ladjana


TAUKE kedai alat komunikasi di pusat beli-belah di Putatan, Penampang, ditahan semalam selepas didakwa meraba buah dada pekerja wanitanya.

Dalam kejadian 7.58 malam pada 20 Jun lalu, mangsa berusia 17 tahun dikatakan hendak mengunci pintu besi simpanan di dalam premis tempatnya bekerja sebelum dihampiri majikannya yang bertanya sama ada kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu sudah dimatikan.

Mangsa kemudian memberitahu dia tidak tahu sebelum suspek secara tiba-tiba memegang buah dadanya menyebabkan gadis itu terkejut lalu bertanya kepada majikannya itu mengapa dia berbuat demikian.

Suspek bagaimanapun hanya ketawa sebelum beredar dan mangsa yang bimbang kejadian itu berulang, membuat laporan polis, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan polis menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan.

“Mangsa yang bekerja selama enam bulan di kedai berkenaan membuat laporan polis selepas mendakwa majikannya meraba buah dadanya ketika bertugas di premis itu.

“Suspek berusia 47 tahun kini direman mengikut Seksyen 14(A) Akta 792 Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 2:07 PM