TENGKU Amir Shah bersalaman dengan bakal haji di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berharap jemaah haji terutamanya dari Selangor membuat persiapan rapi agar terus kekal menjadi jemaah contoh pada musim haji tahun ini.

Baginda bertitah sedemikian pada majlis perasmian Kursus Perdana Haji peringkat negeri di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, kelmarin.

“Beta berharap agar bakal-bakal haji sekalian membuat persiapan rapi, daripada segenap aspek termasuk pengetahuan mengenai hukum-hakam berkaitan Haji dan pengurusan diri.

“Peraturan kerajaan Malaysia serta Arab Saudi juga harus dititikberatkan agar bakal haji negara Malaysia dan Selangor khususnya, terus kekal sebagai bakal jemaah contoh pada musim haji,” titah baginda.

Tengku Amir Shah juga bertitah supaya semua peserta Kursus Perdana Haji kali ini akan dapat menimba ilmu pengetahuan serta mempelajarinya dengan penuh tekun.

Baginda turut bertitah agar usaha dalam menuntut ilmu itu diterima Allah SWT seterusnya memperoleh haji mabrur.

Sementara itu, 7,830 jemaah haji dari Selangor menyertai kursus yang berlangsung selama dua hari.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Datuk Badlisyah Abdul Ghani berkata, TH sentiasa komited memberi perkhidmatan haji terbaik kepada jemaah termasuk bimbingan ibadat haji melalui pelbagai kursus.

“Selain kursus perdana, kursus lain seperti kursus asas, intensif serta khas haji (khusus warga emas) turut diadakan untuk untuk melahirkan jemaah haji yang berpengetahuan, celik ilmu dan bersedia terutamanya berkait ibadat haji.

“Menerusi kursus perdana ini, jemaah diberi peluang melaksanakan aktiviti ibadat haji secara amali seperti bertawaf, sai’e dan melontar jamrah secara berkumpulan. Ia bertujuan untuk menzahirkan suasana sebenar di Tanah Suci Makkah agar jemaah lebih bersedia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 9:45 AM