Anggota bomba memecahkan pintu hadapan rumah.
HM Digital

Kuala Lumpur: Walaupun terperangkap dalam rumahnya yang terbakar, seorang lelaki bernasib baik apabila sempat diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Difahamkan, ketika kejadian jam 11.50 malam kelmarin di sebuah pangsapuri di Bandar Sunway di sini, mangsa berusia 56 tahun sedang tidur dan terperangkap dalam kepulan asap yang memenuhi rumahnya.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai JBPM Selangor Alimaddia Bukri berkata, rumah didiami lelaki terbabit terbakar di bahagian dapur menyebabkan mangsa terperangkap.

Katanya, bomba menerima panggilan pada jam 11.51 malam bergegas ke lokasi dan menjalankan kerja memadamkan kebakaran.

“Api di bahagian dapur dikawal dan mangsa yang terperangkap diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Alimaddia berkata, pasukan bomba bertindak memecahkan pintu depan rumah berkenaan untuk menyelamatkan mangsa.

“Mangsa dipercayai tinggal berseorangan di rumah berkenaan. Anggota penyelamat kemudian melakukan kerja pengudaraan di kediaman itu.

“Pemeriksaan dalam rumah turut dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca yang mendatangkan kebakaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 10:06 AM