SEKITAR majlis istiadat angkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang, di Wisma Sri Pahang, Kuantan. Foto NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG
Amin Ridzuan Ishak


EMPAT puluh dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang mengangkat sumpah jawatan sebelum bermula penggal baharu persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Seri Pahang, Kuantan, hari ini.

Majlis angkat sumpah itu dimulai dengan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga ADUN Jelai diikuti 10 anggota EXCO dan ADUN lain.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Ishak Muhammad yang dipilih semula menduduki jawatan berkenaan selepas dicadangkan oleh Wan Rosdy.

Ketika membentangkan usul itu, Wan Rosdy berkata, pemilihan Ishak yang juga bekas ADUN Bebar selama empat penggal dan bekas EXCO kerajaan negeri berikutan pengalaman luasnya dan prestasi yang cemerlang sebelum ini.

Usul itu disokong oleh ADUN Lanchang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi.

ADUN Jenderak, Datuk Seri Muhammed Jaafar turut mengangkat sumpah sebagai Timbalan Speaker DUN yang dicadangkan oleh Wan Rosdy dan disokong ADUN Benta, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Barisan Nasional (BN) kekal meneraju Pahang selepas memenangi 25 daripada 42 kerusi DUN yang dipertandingkan, sementara Pakatan Harapan memperoleh sembilan kerusi manakala PAS, enam kerusi.

Berucap sebelum menangguhkan persidangan itu, Ishak berkata, rakyat Malaysia berjaya menunjukkan demokrasi yang matang pada PRU-14 termasuk dengan mengekalkan keamanan dan perpaduan masyarakat berbilang kaum.

“Rakyat sudah memilih dan kepada mereka yang dipilih tunaikan janji-janji dan dekati rakyat.

“Mahkamah rakyat akan mengadili kita semua apabila tiba masanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 11:53 AM