Zanariah Abd Mutalib


TEMPOH reman dua suspek termasuk pengarah syarikat dilanjutkan selama lima hari lagi sehingga 7 Julai ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan tuntutan palsu projek tenaga solar sekolah di Sarawak.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kedua-dua suspek masing-masing pengarah syarikat berusia 59 tahun dan peguam syarikat berusia 30 tahun disiasat mengikut Seksyen 18 Akta(a) SPRM 2009.

Kedua-dua suspek sebelum ini direman enam hari sejak Rabu lalu bagi membantu siasatan.

Mereka ditahan sehari sebelumnya ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Difahamkan, kedua-duanya dipercayai terbabit dalam membuat tuntutan palsu berjumlah RM221 juta.

Jumaat lalu, seorang pengarah syarikat berusia 39 tahun turut direman lima hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Kementerian Pendidikan sebelum ini memulakan siasatan dalaman berhubung projek membekal panel tenaga solar kepada 369 buah sekolah di Sarawak membabitkan kos RM2.5 bilion yang diberikan kepada syarikat berpangkalan di Bintulu.

Pengagihan projek berkenaan didakwa dilakukan oleh seorang bekas pemimpin negara yang meluluskannya tanpa melalui tender terbuka.

Projek itu dianugerahkan kepada syarikat di Bintulu dan didakwa melanggar prosedur biasa Kementerian Pendidikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 12:00 PM
PEGAWAI SPRM mengiringi dua suspek yang dipercayai terbabit dalam penyelewengan projek tenaga solar sekolah di Sarawak. Foto NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR