PREMIS makan asam pedas yang diberikan notis perintah tutup dari Kementerian Kesihatan Malaysia merupakan antara warung asam pedas terkemuka di Melaka. -Foto MOHD HILMIE HUSSIN
Mohd Hilmie Hussin


RESTORAN masakan asam pedas di Melaka yang terkenal dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara, diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan negeri.

Ia berikutan sikap acuh tak acuh pengusaha restoran yang tidak menjaga kebersihan, malah difahamkan, terdapat laporan yang mendapati ada bendasing dalam kuah asam pedas yang dihidang kepada pelanggan.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Ghazali Othman ketika dihubungi mengesahkan mengenai arahan penutupan itu.

Katanya, premis itu diarah tutup kerana beroperasi dalam keadaan kotor.

“Kita menerima laporan mengenai terdapat bendasing dalam kuah asam pedas yang dihidangkan kepada pelanggan, malah ketika serbuan dilakukan, pemeriksaan mendapati premis itu juga kotor dan gagal mencapai pemarkahan serta berada di bawah tahap kebersihan minima,” katanya.

Beliau berkata, ada juga premis masakan asam pedas yang kotor, namun setakat ini hanya kedai terbabit dikenakan notis arahan tutup selama 14 hari bermula semalam (1 Julai).

“Perintah tutup premis di Taman Kota Laksamana itu dibuat mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 3:22 PM