VARUGHESE. FOTO Arkib NSTP
Syalikha Sazili


MAJLIS Peguam Malaysia mempertikaikan tindakan Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mengumumkan penahanan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, hari ini.

Presidennya, George Varughese mendakwa, pasukan terbabit tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menahan Ahli Parlimen Pekan itu berhubung isu SRC International Sdn Bhd.

“Majlis Peguam terkejut dan rasa terganggu dengan kenyataan media yang dikeluarkan hari ini oleh Pasukan Petugas Khas 1MDB yang mengumumkan Najib ditahan 2.35 petang berhubung SRC International Sdn Bhd dan akan didakwa di mahkamah, 8.30 pagi esok.

“Sebarang penahanan hanya boleh dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Varughese juga berkata, tindakan Pasukan Petugas Khas 1MDB itu menimbulkan beberapa persoalan termasuk kuasa untuk mendakwa Najib.

“Adakah pasukan petugas khas mempunyai kuasa undang-undang untuk mengarahkan penahanan dan mendakwa Najib?” katanya.

Petang tadi, Najib dibawa SPRM dari rumahnya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Susulan itu, Pasukan Petugas Khas 1MDB mengeluarkan kenyataan mengesahkan penahanan Najib.

Pasukan petugas khas berkenaan terdiri daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Abdul Hamid Bador.

Berita berkaitan

Penyokong Najib berhimpun

Najib mungkin hadapi 10 pertuduhan

Najib bermalam di lokap SPRM

Najib tiba di SPRM Putrajaya

Najib didakwa esok

Najib Razak ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 9:49 PM