X
Oleh Azura Abas dan Irwan Shafrizan Ismail


DAKWAAN Datuk Seri Najib Razak bahawa bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, tahu mengenai dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi bekas Perdana Menteri itu tetapi tidak mempersoalkannya, adalah fitnah.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, berikutan itu Zeti berhak mengambil tindakan guaman terhadap Najib berhubung dakwaan itu.

“Saya adakan majlis rumah terbuka Aidilfitri yang disambut pada peringkat dalaman di Kementerian Kewangan hari ini yang turut dihadiri Zeti serta Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainudin dan Zeti ada timbulkan perkara ini, menyatakan beliau tidak berpuas hati.

“Katanya (Zeti) apa yang ditimbulkan Najib itu dianggap sebagai fitnah. Saya menyatakan kalau ini fitnah, maka beliau (Zeti) harus mengambil tindakan sewajarnya.

“Saya rasa Zeti sedang bincang perkara ini dengan peguamnya. Saya tak mahu cakap lebih daripada itu, mari ikut proses dan hak perundangan,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Putrajaya, hari ini.

Baru-baru ini, dalam temubual bersama Malaysiakini, Najib mendakwa Zeti ketika menjadi Gabenor Bank Negara sedar mengenai dana RM2.6 bilion dalam akaunnya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 2013, tetapi tidak mempersoalkan perkara itu.

“Jika Bank Negara tahu mengenai dana ini, dan mereka ada bayangan atau pengetahuan bahawa mungkin akan ada keraguan berhubung sumbernya, mereka patut beritahu saya.

“Tetapi ia tidak berlaku. Jadi, saya menyangka ia tiada masalah,” katanya.

Selain itu, Guan Eng berkata, kementeriannya tetap mempunyai keyakinan terhadap integriti dan kredibiliti Zeti.

“Jika kita hendak bandingkan integriti antara Zeti dan Najib, siapa yang akan anda lebih percaya?

“Siapa yang ada atau tidak ada beg jenama Hermes? Siapa yang ada barang kemas bernilai RM200 juta dan siapa yang ada wang tunai berjumlah RM140 juta?

“Saya akan mempercayai Zeti, jadi biarlah rakyat yang menentukan. Saya yakin Zeti tahu apa yang perlu dilakukan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Zeti yang juga ahli Majlis Penasihat Kerajaan, turut dilantik sebagai Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) menggantikan Tan Sri Abdul Wahid Omar minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 11:34 PM
LIM Guan Eng beramah mesra dengan warga Kastam ketika majlis Mesra Aidilfitri. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
LIM Guan Eng beramah mesra dengan warga Kastam ketika majlis Mesra Aidilfitri. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor