Najib tiba di Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO NSTP
Zanariah Abd Mutalib


BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dikawal ketat pasukan polis dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memasuki Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Terdahulu, Najib dilihat dibawa keluar dari bangunan ibu pejabat (SPRM) di Putrajaya 7.37 pagi, dan diiringi enam kenderaan termasuk dua kereta peronda serta dua motosikal polis.

Najib ditahan di lokap SPRM malam tadi, sementara menunggu pertuduhan di mahkamah pagi ini.

Beliau sebelum itu ditahan di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur 2.35 petang semalam.

Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam satu kenyataan semalam mengesahkan tangkapan dibuat terhadap Najib berkaitan SRC International Sdn Bhd (SRC International).

Pasukan itu memaklumkan Najib akan dituduh 8.30 pagi ini di Mahkamah Kuala Lumpur.

Sumber memaklumkan, Najib dijangka akan menghadapi lebih 10 pertuduhan melakukan pecah amanah berkaitan kes SRC International.

Pada bulan lalu, Najib dua kali dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaan rasuah berkaitan SRC dan 1MDB yang sedang dijalankan SPRM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 8:37 AM