ANGGOTA dan pegawai JSPT Kuala Lumpur mengeluarkan saman kepada pemandu kenderaan yang membuat halangan dalam Ops Halangan di beberapa jalan utama di ibu kota, semalam. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


“SAYA hanya parkir lima minit sahaja tuan.” Itu antara alasan popular kira-kira 123 pengguna jalan raya yang dikesan membuat halangan dan meletakkan kenderaan mereka sesuka hati di bahu jalan sehingga menyebabkan kesesakan jalan raya di sekitar ibu kota, semalam.

Mereka menerima saman polis dalam operasi Ops Halangan yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT).

Operasi diketuai Asisten Superintendan Mohd Hasbullah Saidin itu tertumpu kepada kenderaan yang sering membuat halangan termasuk parkir di laluan dilarang, parkir menghalang lalu lintas dan kenderaan yang membuat halangan.

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, operasi dilaksanakan berikutan rungutan orang awam berhubung kesesakan jalan di kawasan berkenaan yang dikatakan berpunca akibat sikap pemandu yang meletak kenderaan mereka sesuka hati.

“Antara kesalahan dilakukan termasuk berhenti terlalu lama sehingga menimbulkan halangan dan kesesakan lalu lintas serta ada pemandu meletakkan kenderaan di garisan kuning.

“Orang ramai perlu faham jalan ini sesak dan sekiranya pemandu tetap mahu meletakkan kenderaan di bahu jalan, ia hanya akan memburukkan keadaan sehingga menjadi sesak teruk,” katanya.

Beliau berkata, tindakan berterusan akan dijalankan bagi memastikan kelancaran trafik dan mendidik pemandu supaya tidak mementingkan diri ketika di jalan raya.

Menurutnya, pihaknya berharap melalui operasi yang dijalankan itu dapat mendisiplinkan pengguna di ibu kota.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 12:38 AM