Oleh Faris Fuad


EMPAT lelaki dan dua wanita Vietnam ditahan pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) selepas didapati menyimpan beberapa bahagian hidupan liar termasuk kulit, taring dan kuku harimau tanpa dokumen sah.

Kesemua suspek berusia lingkungan 20-an hingga 40-an diberkas di premis pekerja kilang papan di Kuala Lipis Pahang, kelmarin.

Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, berkata pihaknya percaya suspek berkenaan adalah pemburu haram hidupan liar menggunakan jerat sebagai senjata utama untuk memerangkap serta membunuh hidupan itu terutama harimau, sejak tiga tahun lalu.

Beliau berkata, individu terbabit boleh mengaut keuntungan sehingga RM200,000 bagi setiap keping kulit harimau belang menerusi jualan di pasaran haram.

“Antara bahagian hidupan liar yang disita ialah kulit harimau belang di mana mereka menjual RM200,000 sekeping, kita rampas dua maknanya, nilai rampasan RM400,000.

“Bahagian haiwan lain termasuk 20 unit kuku beruang, empat unit tanduk kambing gurun, 12 unit taring babi hutan dan 39 kilogram daging hidupan liar, ia antara penyumbang kepada nilai rampasan berjumlah RM100,000.

“Secara keseluruhan, nilai rampasan mencecah RM500,000,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PERHILITAN di Cheras, hari ini.

Beliau berkata suspek disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana memburu hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya dan memiliki jerat.

“Mereka direman selama tujuh hari, bermula 4 Julai lalu.

“Pada masa sama, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diharap dapat menghubungi talian hotline PERHILITAN di 1-800-88-5151 atau layari laman web www.wildlife.gov.my untuk maklumat lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 10:37 PM
ABDUL Kadir (kanan) dan Pengarah Bahagian Juruperunding PERHILITAN, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh, menunjukkan kulit Harimau Belang dan Harimau Dahan yang dirampas daripada pemburu haram. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali