ZAINAL Abidin Borhan. FOTO arkib NSTP
ZAINAL Abidin Borhan. FOTO arkib NSTP
Hafizah Iszahanid


GABUNGAN Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) memohon Kerajaan Negeri Melaka menarik kembali pengiktirafan Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC) yang diumumkannya minggu lalu.

Pengiktirafan itu yang membolehkan pemegangnya menyertai sistem perkhidmatan awam negeri itu dilihat sebagai memporak perandakan sistem dan struktur sedia ada.

Ketua Satu GAPENA, Datuk Zainal Abidin Borhan, berkata isu paling utama UEC tidak memiliki syarat am terpenting, iaitu kepujian dalam subjek Bahasa Melayu dan lulus mata pelajaran Sejarah pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"UEC bercanggah dengan Akta Pendidikan 1996 yang secara jelas mengariskan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama," katanya dalam Mesyuarat Agung GAPENA di Kuala Lumpur, hari ini.

Zainal Abidin berkata, syarat am itu ialah perkara paling asas untuk masuk ke universiti awam dan perkhidmatan awam.

Syarat sama juga ditekankan jika seseorang mahu memohon biasiswa kerajaan persekutuan dan negeri, apatah lagi untuk berkhidmat di perkhidmatan awam sama ada pada peringkat persekutuan dan negeri seperti yang disyaratkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam juga Negeri.

"Apabila Kerajaan Melaka mengiktiraf UEC apakah semua syarat tersebut dihapuskan?

"Jika benar, ia hanya akan memporak perandakan seluruh sistem dan struktur sedia ada," katanya.

UEC yang dikeluarkan oleh sekolah persendirian Cina yang sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan tidak selari dengan silibus yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran

Minggu lalu, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari mengumumkan pengiktirafan UEC sebagai syarat kelayakan memasuki perkhidmatan awam negeri itu sebagai memenuhi sebahagaian janji Pakatan Harapan (PH) pada pilihanraya umum ke-14.

Sementara itu, dalam mesyuarat agung dan pemilihan jawatankuasa kerja 2018-2020, Zainal menang tanpa bertanding untuk jawatan Ketua Satu.

Turut menang tanpa bertanding ialah Ketua Duanya, Amiruddin Md Ali Hanafiah dan Setiausaha Satunya, Hamzah Hamdani.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Julai 2018 @ 12:58 PM