JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri menghentikan sepenuhnya operasi pemadaman tangki minyak milik Kemaman Bitumen Company (KBC) di Teluk Kalong di Kemaman, jam 1 tengah hari tadi.

Timbalan Pengarah JBPM negeri, Sharikam Bustaman berkata, anggotanya kini sedang mengemas segala peralatan selepas menutup bilik gerakan berhampiran lokasi kejadian.

"Selepas membuat siasatan hari ini, kami dapati tiada lagi api dan kebakaran dapat dipadam sepenuhnya," katanya kepada media ketika ditemui, hari ini.

Sharikam berkata, pihaknya kini menumpukan kepada kerja penyejukan tangki yang tidak terbakar.

"Kita jangka lewat petang ini semua kerja-kerja itu dapat diselesaikan sebelum semua anggota kami dibenarkan pulang.

“Bagaimanapun kita akan terus membuat pemantauan di lokasi kejadian dan esok pasukan penyiasatan dari Ibu Pejabat JBPM akan menjalankan siasatan bagi mencari punca kejadian," katanya.

Dalam kejadian 6.15 petang Khamis lalu, tiga tangki simpanan berkapasiti 20,000 liter padu minyak mentah terbakar.

Kebakaran itu menyebabkan kawasan sekitar kilang terbabit dipenuhi asap hitam yang tebal.

Kebakaran yang disifatkan terbesar dalam sejarah di Terengganu itu juga turut menyebabkan seorang pekerja kontrak, Rosli Muhamad, 42, melecur di bahagian muka dan tangan kanannya. Mangsa kemudian terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Julai 2018 @ 8:10 PM
TANGKI minyak yang terbabit kebakaran. FOTO Ihsan Bomba