LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai pergelangan tangan kanan mangsa hampir putus akibat ditetak suspek, malam tadi.
LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai pergelangan tangan kanan mangsa hampir putus akibat ditetak suspek, malam tadi.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


POLIS sudah mengenal pasti dan sedang mengesan dua suspek terbabit dalam kes tetak seorang lelaki di kedai kopi berhampiran pasar raya di Jalan Maharaja 1, Bagan Serai, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata dua suspek berkenaan dikenali sebagai K Vijayan, 31, dan Yeong Ah Peng, 32, berasal dari Bandar Tasik Mutiara, Simpang Ampat, Pulau Pinang.

Beliau berkata, wajah kedua-dua suspek terbabit dikenal pasti rakan mangsa yang berada di lokasi kejadian.

“Dalam kejadian 9.33 malam itu, mangsa dan rakannya sedang berbual di hadapan premis snuker berhampiran kafe siber.

“Tidak lama kemudian, dua lelaki keluar dari kereta Perodua Kancil berwarna hijau dengan bersenjatakan parang dan bertindak mengejar mangsa sehingga memasuki kedai kopi berhampiran.

“Berikutan itu, berlaku pergaduhan dan mangsa ditetak di bahagian atas tapak tangan kanan dan turut putus jari kelingking tangan kiri,” katanya di Bagan Serai, hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, kedua-dua suspek kemudian melarikan diri dengan kenderaan sama tidak dikenal pasti nombor pendaftarannya.

Bagaimanapun, beliau berkata, wajah kedua-dua suspek dikenal pasti rakan mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Gerakan memburu kedua-dua suspek kini giat dijalankan dan pihak polis turut meminta kerjasama orang awam untuk membantu mengesan mereka.

“Polis masih menjalankan siasatan mengenai punca dan motif sebenar kejadian itu,” katanya.

Berita berkaitan

'Pergelangan tangan hampir putus'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 5:17 PM