AKMAL (kanan) menghulurkan kuih raya kepada Hafiz pada Majlis Rumah Aidilfitri AADK Kuala Terengganu. FOTO Nazdy Harun


“TAMAT sahaja rawatan dan pemulihan ini, saya akan beri tumpuan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tekad untuk capai keputusan cemerlang sebagai tebus semula dosa lalu,” kata Akmal, 17, (bukan nama sebenar).

Penghuni Pusat Pulih dan Rawat (CCSC) Kuala Terengganu itu ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), di Kuala Terengganu, semalam.

Mengimbas salah lakunya, Akmal berkata, dia terjebak dalam penyalahgunaan dadah lebih setahun lalu disebabkan tekanan akibat sikap bapanya yang suka berleter selain, pengaruh rakan sebaya.

Katanya, bagi mengelak tabiat buruknya diketahui keluarga, dia menjadikan ‘port’ pemancing di tepi sungai sebagai tempat untuknya melepaskan gian.

“Akibat terdesak untuk membeli pil kuda dengan harga RM13 sebiji, saya tidak belanjakan wang saku dibekalkan ayah untuk ke sekolah, sebaliknya wang itu saya simpan untuk beli dadah.

“Jika perlu makan, saya hanya harapkan ihsan rakan. Saya beritahu mereka saya tiada duit untuk beli makanan dan mereka akan beri makanan kepada saya,” katanya.

Menurutnya, tembelangnya pecah apabila dihidu ibu saudara yang bertindak menyerahkannya kepada AADK untuk melakukan ujian saringan air kencing.

Katanya, dia tidak menyalahkan keluarganya, namun berharap dapat mengurus tekanan dengan lebih baik pada masa depan sekali gus menjauhi dadah.

Akmal berkata, sejak berada di CCSC, banyak dipelajarinya dan lebih utama dia sedar sebab utama bapanya kerap menegur kerana mahu dia berjaya.

“Sebagai anak sulung, saya perlu tunjukkan contoh terbaik kepada adik-adik, tetapi saya salah langkah hingga terjerumus dalam kancah penagihan dadah.

“Seorang bapa mungkin tidak akan berleter jika anaknya tidak melakukan kesalahan dan saya akui kesilapan diri serta tekad berubah demi keluarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai AADK Kuala Terengganu, Hafiz Hassan berkata, AADK sentiasa memberi peluang kepada mana-mana individu yang memerlukan rawatan serta pemulihan berkaitan dadah.

Katanya, kepakaran dimiliki membolehkan mereka membantu sama ada dari sudut pemulihan, dan khidmat nasihat kepada keluarga.

“Selain itu, peranan masyarakat amat perlu dalam menangani masalah ini dan bukannya terletak pada bahu agensi kerajaan sahaja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 6:36 PM