JENAZAH Mohd Nizam, Noor Hafizah dan Muhammad Afiq dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Mukim Wakaf Bata, Machang, hari ini. Gambar kecil, Ismail. FOTO Faris Zainuldin.
Siti Nadzirah Che Mud


JENAZAH tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 60.6 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Wakaf Bata, Machang, petang hari ini.

Jenazah Mohd Nizam Suhaidin, 34, dan pasangannya, Noor Hafizah Ismail, 34, serta anak pasangan itu, Muhammad Afiq Mohd Nizam, 6, disolatkan di Masjid Al Amir Mukim Wakaf Bata, sebelum dikebumikan dalam satu liang pada 5.45 petang.

Sebelum itu, jenazah ketiga-tiga mangsa dibawa terus ke masjid berkenaan dengan dua van jenazah dari Hospital Gerik pada 12 tengah hari.

Suasana pilu dan hujan renyai mengiringi ketibaan ketiga-tiga jenazah berkenaan yang turut dihadiri lebih 200 saudara-mara dan kenalan.

Ketiga-tiga mereka maut dalam kemalangan pada 4.30 petang semalam apabila kereta dinaiki dilanggar treler membawa muatan balak di tempat kejadian.

Pemandu treler itu, Redzuan Abd Ghani, 59, turut terkorban dalam kemalangan itu.

Seorang lagi anak pasangan berkenaan, Nur Hanania Maisara Mohd Nizam, 3, kini dikatakan dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Difahamkan, kereta dinaiki empat beranak itu dalam perjalanan dari Gerik menghala ke Jeli manakala treler terbabit dari arah bertentangan.

Sementara itu, bapa Noor Hafizah, Ismail Musa, 80, berkata Noor Hafizah, adalah anak bongsu daripada lapan beradik dan tinggal di Pangkal Meleret, Machang, sering kali ke rumahnya di Kampung Wakaf Bata.

“Selalunya kalau nak ke mana-mana, mereka akan singgah di rumah, tapi Jumaat lalu mereka terus pergi ke sana dan tidak singgah.

“Saya fikir mereka mungkin ingin cepat sebab itu tidak sempat singgah ke rumah,” katanya yang tidak dapat menahan sebak ketika ditemui di Masjid Al Amir Mukim Wakaf Bata.

Ismail berkata, dia mengetahui mengenai tragedi itu daripada jirannya pada 6 petang semalam.

“Dia (jiran) datang rumah saya memberitahu saya supaya tidak terkejut sebelum menunjukkan gambar kemalangan menimpa anak, menantu, serta cucu saya itu.

“Selepas dia beritahu mereka meninggal dalam kemalangan itu, saya hanya terdiam dan terbayang kembali wajah mereka.

“Saya reda dengan kejadian itu dan harap cucu perempuan saya cepat pulih,” katanya.

Sementara itu, adik Mohd Nizam, Mohd Zamri Suhaidi, 33, berkata Nur Hanania Maisara masih kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Dia masih dirawat di sana akibat rentak tulang pipi dan kecederaan di dalam kepala.

“Insya-Allah jika tiada halangan, kami akan pindahkan dia ke Hospital Universiti Sains (HUSM), Kubang Kerian, supaya lebih dekat dengan kami,” katanya.

Berita berkaitan

'[UPDATE] 'Abang bercakap tak pandang saya''

'Tiga sekeluarga, pemandu lori maut..'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 6:36 PM