T N Alagesh dan Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
cnews@nstp.com.my


SUAMI isteri direman seminggu bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di Taman Permatang Badak Maju, Permatang Badak, Kuantan, semalam.

Suspek wanita berusia 29 tahun dan suaminya berusia 30 tahun ditahan petang semalam, selepas polis menerima laporan mengenai kematian anak lelaki mereka daripada pihak Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Senior Asisten Komisioner Othman Nanyan, berkata dua suspek terbabit direman bermula hari ini hingga Isnin depan bagi membantu siasatan.

“Hasil bedah siasat dijalankan forensik HTAA mendapati murid Tahun Empat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Ching itu meninggal dunia disebabkan berlaku pendarahan pada saluran makanan mangsa yang disebabkan oleh pecah salur darah atau ulser pada esofagus.

“Kecederaan saluran itu terjadi disebabkan berlaku pukulan (stress trauma),” katanya di Kuantan, hari ini.

Othman berkata, siasatan mendapati terdapat kesan kecederaan lama pada anggota badan mangsa seperti luka pada bahagian kepala, kemaluan dan seluruh badan kerana akibat didera.

Sebelum ini, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman mengesahkan kematian kanak-kanak itu dan penahanan dua suspek terbabit bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ibu kandung mangsa membuat panggilan kecemasan menghubungi HTAA pada 12 tengah hari memaklumkan anak lelakinya tidak sedarkan diri di rumah sebelum ambulans dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sebaik tiba, pasukan perubatan cuba memberikan rawatan awal sebelum mangsa dibawa ke HTAA dan disahkan meninggal dunia pada 1 tengah hari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Kesan melecur pada kemaluan mangsa'

'Ibu jenis apa kau ni...'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 7:26 PM
LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai kanak-kanak berusia 10 tahun yang mati dipercayai akibat didera ibu kandungnya, semalam.