API marak membakar kediaman Rani di Kampung Alur Parit, Kedai Buluh, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Hanneeyzah Bariah Baharin
Hanneeyzah Bariah Baharin


“SELAMA 25 tahun saya membina rumah ini sedikit demi sedikit menggunakan wang hasil titik peluh sebagai petani, tak sangka akhirnya saya tinggal sehelai sepinggang selepas rumah musnah terbakar.”

Begitu kata Rani Mat Zain, 61, dalam nada sayu selepas rumah tujuh bilik di Kampung Alur Parit, Kedai Buluh, Kuala Terengganu hangus dalam kebakaran, hari ini.

Kejadian berlaku pada jam 12.45 tengah hari menyebabkan tujuh beranak itu hilang tempat tinggal.

Rani berkata, dia berada dalam bilik air untuk mandi selepas pulang dari kebun sayur sebelum terdengar jeritan jiran dari luar memaklumkan bahagian depan rumahnya terbakar.

Katanya, dia yang berseorangan di rumah ketika itu segera keluar dan naik ke tingkat atas di bahagian hadapan rumah sebelum mendapati api marak dari sebuah bilik tidur.

“Saya kemudian mengambil air dan cuba memadamkan kebakaran, namun struktur rumah bahagian atas yang diperbuat daripada kayu menyebabkan api marak terlalu cepat.

“Beberapa minit kemudian anak lelaki saya yang keluar ke padang di kampung pulang lalu cuba membantu memadam kebakaran, namun asap terlalu tebal dan kami hampir lemas lalu segera keluar dari rumah.

“Hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana sedihnya hati ini melihat rumah yang dibina hasil keringat sendiri sedikit demi sedikit musnah terbakar, namun kami reda dengan ujian Ilahi,” katanya.


RANI (kiri) bersama anaknya Tarmizi, 36, melihat barangan yang musnah dalam kebakaran rumah mereka. FOTO Hanneeyzah Bariah Baharin

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Pegawai Bomba Kanan II, Ab Halim Mat Adam berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.55 tengah hari sebelum 35 pegawai dan anggota serta lima jentera dari BBP Kuala Terengganu, Wakaf Tapai dan Marang dihantar ke lokasi.

“Sebaik tiba kita dapati api sudah marak membakar rumah ini dan api berjaya dikawal pada jam 1.31 tengah hari dan dipadam sepenuhnya pada jam 1.58 tengah hari.

“Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai akibat litar pintas, namun siasatan lanjut berhubung punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 6:31 PM