Azura Abas dan Zanariah Abd Mutalib

BERKUATKUASA hari ini, perkhidmatan e-hailing dikawal selia oleh kerajaan melalui Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, melalui akta itu, syarikat e-hailing mesti berdaftar dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebagai Perniagaan Pengantaraan dan perlu membayar fi yang ditetapkan.

Beliau berkata, syarat yang dikenakan kepada industri e-hailing adalah selari dengan industri teksi dari segi syarat kelayakan permohonan lesen, kenderaan, kelayakan pemandu dan operasi, bagi memberikan kesaksamaan kepada industri teksi.

“Tempoh moratorium selama setahun dari tarikh kuat kuasa akan diberikan kepada Perniagaan Pengantaraan untuk memenuhi semua syarat yang ditetapkan bagi mendapatkan Lesen Perniagaan Pengantaraan.

“Dalam tempoh itu, kita akan membuat pemantauan dan jika didapati melanggar syarat, ia akan memberi kesan kepada syarikat dari segi imej dan lesen,” katanya pada sidang media di Putrajaya, semalam.

Bulan lalu, Loke memaklumkan kerajaan tidak akan menghentikan perkhidmatan e-hailing kerana ia adalah trend perkhidmatan antarabangsa, sebaliknya akan mewujudkan peraturan baharu bagi perkhidmatan itu.

Beliau berkata, peraturan itu sudah dipinda oleh kerajaan sebelum ini dan kini kementerian akan melihat semula perkara itu untuk dilaksanakan dengan adil seiring dengan perkhidmatan teksi di negara ini.

Menurutnya, dari segi syarat kelayakan permohonan lesen, syarikat e-hailing juga perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) membabitkan 10 syarikat e-hailing di Malaysia ketika ini.

“Dari segi syarat kenderaan, ia terbuka kepada semua jenama yang mempunyai sekurang-kurangnya taraf tiga bintang tahap piawaian Program Penilaian Kereta Baharu Asia Tenggara (ASEAN CAP) atau setara dengannya dan menjalani pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) sekali setahun apabila kenderaan didaftarkan itu melebihi usia tiga tahun dari tarikh pendaftaran di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Bagi syarat kelayakan pemandu, syarat permohonan adalah sama dengan syarat permohonan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) dan ditambah baik dengan saringan rekod jenayah serta perlu turut memberi perlindungan bagi pemandu, penumpang dan pihak ketiga bagi memenuhi syarat operasi,” katanya.


(Gambar fail) Pemandu e-hailing MyCar Norhafiz Ngadiman (kiri) bersama Samsul Anuar Mustaffar, antara syarikat yang dikawal selia melalui dua akta. FOTO Zain Ahmed

Selain itu, katanya, kesaksamaan lain yang akan dilaksanakan adalah pemeriksaan meter bagi kelas lesen teksi akan dilakukan sekali setahun berbanding dua kali setahun sebelum ini.

“Latihan pemandu juga akan menggunakan modul latihan yang mengambil masa selama enam jam sahaja dengan fi RM200 seorang. Modul latihan ini boleh dilaksanakan oleh mana-mana Perniagaaan Pengantaraan, syarikat teksi, institut memandu atau penyedia latihan yang ditauliah SPAD/APAD,” katanya.

Siew Fook berkata, berikutan rungutan pemandu e-hailing mengenai ketidakadilan oleh syarikat yang menekan pemandu dengan mengenakan kadar komisen sehingga 25 peratus, kerajaan menetapkan dalam syarat lesen bahawa kadar komisen maksimum dikenakan adalah 10 peratus bagi perkhidmatan e-hailing oleh pemandu teksi dan 25 peratus bagi kenderaan persendirian.

“Kadar surcaj pula dihadkan kepada dua kali ganda daripada harga tambang sahaja,” katanya.

Beliau berkata, bagi melindungi kebajikan pemandu, syarikat e-hailing dikehendaki menyediakan Kod Tatakelakuan dan Garis Panduan Rungutan Pemandu.

“Justeru, apa-apa pertikaian atau rungutan oleh pemandu boleh diselesaikan melalui mekanisme yang ditetapkan dan jika syarikat tidak mahu mendengar, ia akan memberi kesan kepada lesen mereka.

“Untuk keselamatan pemandu pula, penumpang dikehendaki memuat naik maklumat kad pengenalan atau pasport yang sah semasa pendaftaran, selain setiap aplikasi e-hailing pemandu serta penumpang perlu mempunyai fungsi kecemasan SOS/999 bagi melaporkan sebarang kecemasan semasa perkhidmatan berjalan,” katanya.

Menurutnya, pemandu teksi yang ingin menyertai industri e-hailing akan diberikan bantuan Geran Tunai Kerajaan sebanyak RM5,000 bagi membeli kenderaan baharu atau terpakai.

“Pada masa sama, dasar sedia ada diteruskan di mana pemandu teksi yang sudah tamat tempoh kontrak pajak dengan syarikat teksi juga diberikan Geran Tunai Kerajaan sebanyak RM5,000 bagi membeli teksi baharu jika mereka berhasrat untuk kekal sebagai pemandu teksi dengan menggunakan lesen teksi individu,” katanya.

Katanya, kerajaan juga sedang mengkaji risiko monopoli perkhidmatan e-hailing selepas penggabungan Grab dan Uber melalui Suruhanjaya Anti Persaingan (MyCC).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 7:39 PM