Zuliaty Zulkiffli


POLIS berjaya menemui sebuah kereta Proton Perdana yang dilaporkan hilang di Changlun, semalam, selepas menahan tiga lelaki disyaki penagih dadah di Kampung Banggol Petai, Pendang, hari ini.

Difahamkan, ketiga-tiga suspek itu hanya sempat 'melaram' dengan kereta curi itu sehari sahaja sebelum mereka dicekup polis dalam operasi jam 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, melalui operasi diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, Asisten Superintendan Muhammad Amin Md Yassin itu, polis menahan kereta dinaiki tiga lelaki terbabit berusia 20-an hingga 30-an itu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam kereta itu kemudiannya menemui empat paket kecil dadah jenis syabu seberat tiga gram.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kereta itu dilaporkan hilang semalam berdasarkan laporan polis yang diterima semalam di daerah Kubang Pasu.

“Kes kereta curi itu kemudian diserahkan kepada pegawai penyiasat IPD Kubang Pasu untuk tindakan lanjut, manakala kes penemuan dadah diserahkan pada Bahagian Narkotik," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Arriz Sham berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek menunjukkan mereka positif dadah jenis methamphetamin.

Beliau berkata, berdasarkan rekod, semua suspek yang tidak bekerja itu pernah memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah sebelum ini.

“Mereka akan direman esok untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 8:40 PM