FOTO Hiasan
Mohd Izham Unnip Abdullah


KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Sabah menafikan dakwaan berlaku wabak selsema burung atau penyakit dikaitkan dengan ternakan ayam di negeri ini.

Menterinya, Junz Wong berkata, dakwaan itu yang tersebar dalam WhatsApp hanya spekulasi berikutan laporan mengenai banyak ayam mati di pusat ternakan haiwan berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) negeri, hanya satu pusat ternakan ayam di Tamparuli mencatat peningkatan kematian ayam, namun ia dipercayai disebabkan perubahan cuaca.

"Setakat ini hanya pusat ternakan itu mencatat peningkatan kematian ayam dan dipercayai berpunca daripada perubahan cuaca kerana ia menggunakan kandang terbuka yang menyebabkan ternakannya terdedah.

"Bagaimanapun JPH akan terus menjalankan ujian untuk mengesan jika berlaku wabak penyakit. Ketika ini ayam yang dimasak dengan baik masih selamat dimakan, tiada sebarang tanda bahaya," katanya dalam satu kenyataan, di Kota Kinabalu.

Kenyataan beliau menyusul selepas satu laporan meminta orang ramai tidak memakan ayam kerana didakwa diserang selsema burung atau penyakit ayam yang tersebar di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Dalam hal lain, Wong berkata, MAFI serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di peringkat Persekutuan sependapat mengenai keperluan untuk mengembangkan industri hiliran pertanian bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di negeri ini.

Beliau berkata, kedua-dua kementerian turut berkongsi keprihatinan bagaimana untuk meletakkan semula dan menjenamakan imej bahawa petani moden boleh menikmati pendapatan yang baik.

Katanya, perkara itu antara topik perbincangan pada pertemuannya dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub dan timbalannya, Sim Tze Tzin, semalam.

Wong berkata menerusi perbincangan itu, kedua-dua pihak bersetuju memberi tumpuan kepada usaha mengembangkan industri penternakan, penanaman buah tropika untuk eksport, penanaman padi dan rumpai laut di Sabah.

"Akhir sekali, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersetuju dengan keputusan saya untuk menghentikan projek pembinaan pejabat Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) di Kota Belud yang bernilai RM50 juta.

"Wang itu sepatutnya dibelanjakan untuk manfaat kepada pesawah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 8:46 AM