KEADAAN kereta Proton Persona yang terbabit dalam kemalangan selepas dirempuh Toyota Hilux menyebabkan dua beranak maut di Simpang Jalan Bahagia, Jalan Kuala Baram- Bypass, Miri. FOTO Mohd Rizal Abdullah
Mohd Rizal Abdullah


KANAK-kanak lelaki berusia lapan tahun dan bapanya maut dalam kemalangan di Simpang Jalan Bahagia, Jalan Kuala Baram-Bypass, Miri, malam tadi.

Dalam kejadian 11 malam itu, Thomas Balang Apoi, 45, yang memandu kereta Proton Persona maut ketika menerima rawatan di Hospital Miri, manakala anaknya, Elfhy Leonald Panai Thomas, 8, maut di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexon Naga Chabu berkata, kemalangan berlaku selepas kereta dipandu mangsa dirempuh Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 25 tahun.

Menurutnya, siasatan mendapati, pemandu Toyota Hilux berkenaan dari arah Permyjaya menuju ke Pujut manakala mangsa dari arah bertentangan.

"Mangsa kemudiannya membelok ke kanan menuju ke simpang berkenaan mengakibatkan keretanya dirempuh dari sisi kiri oleh Toyota Hilux.

"Kejadian itu mengakibatkan kedua-dua kenderaan itu terseret beberapa meter sehingga ke bahu jalan," katanya.

Katanya, kanak-kanak terbabit parah di kepala dan badan dan disahkan maut di lokasi kejadian, manakala bapanya disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

"Pemandu Toyota Hilux terbabit hanya cedera," katanya.

Katanya, mayat kedua-dua beranak itu kemudiannya dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga mereka.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 11:21 AM