Ruwaida Md Zain
cnews@nstp.com.my


SUSPEK kes bunuh rakan sekerja di sebuah kolej kemahiran di Banting, semalam direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, suspek yang baru tiga bulan bekerja di kolej terbabit direman sehingga 18 Julai depan.

“Ini kes ‘clear cut’ (yang jelas) kerana suspek sendiri menghubungi polis dan mengaku membunuh mangsa.

“Kes itu juga seperti kita tahu provokasi melampau mengakibatkan beliau bertindak sedemikian.

“Suspek direman selama tujuh hari. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor antara Asisten Komisioner Nor Azman Muhammad Yusuf dengan Asisten Komisioner Harjinder Kaur Gurdial Singh.

Majlis berkenaan berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, hari ini.

Mazlan juga mengesahkan suspek mempunyai laporan perubatan berkaitan psikatri.

“Suspek juga mempunyai laporan perubatan... berkaitan psikatri.

“Ia satu tragedi yang tidak diduga yang menimpa mangsa,” katanya.

Semalam, NSTP melaporkan suspek, 28, bertindak menikam dan mencekik seorang kerani wanita sehingga mati.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mayat mangsa Zaimah Mahmod, 57, ditemui di stor pejabat kolej berkenaan akibat ditikam dengan pisau oleh suspek lelaki yang juga rakan sekerjanya.

Suspek yang juga pembantu makmal kolej itu dipercayai bertindak sedemikian kerana sering kali disindir mangsa.

Berita berkaitan

[UPDATE] Suspek gelisah, tunduk kepala...

Tikam, cekik mati rakan sekerja akibat disindir

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 6:12 PM