Pembangkang belum capai kata sepakat untuk menentukan calon di DUN Sungai Kandis.
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


BARISAN Nasional (BN) akan mengadakan perbincangan dengan PAS bagi memilih hanya seorang calon dari pembangkang yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, 4 Ogos ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bagi membolehkan hanya calon yang berpotensi untuk menang diletakkan sebagai calon mewakili pembangkang pada PRK itu.

“Hanya seorang calon saja yang akan bertanding di PRK Sungai Kandis, Selangor, dan kita akan ambil kira kebolehmenangan kepada parti dan kebolehsokongan kepada calon yang boleh memenangi kerusi itu.

“Ertinya daripada pihak pembangkang termasuk UMNO dan parti-parti komponen BN lain bersetuju hanya seorang calon yang akan menawarkan diri sebagai calon pada PRK itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Kesyukuran Meraikan Bakal-Bakal Haji Parlimen Bagan Datuk di Bangunan UMNO Bagan Datuk di Hutan Melintang, hari ini.

PRK DUN Sungai Kandis diadakan berikutan penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Mat Shuhaimi memenangi kerusi DUN Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518 undi); Mohd Yusof Abdullah (PAS - 7,573 undi) dan Hanafiah Husin (PRM - 76 undi).

Mengulas mengenai cadangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya UMNO menggunakan logo parti dan bukannya logo BN pada PRK itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya belum meneliti cadangan itu secara rasmi dan akan membawanya ke mesyuarat Jawatankuasa Biro Politik UMNO.

Katanya, UMNO akan memperincikan cadangan itu dan melihat keberuntungan jika menggunakan logo selain dari BN sebelum ia diputuskan secara rasmi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya yakin semangat serta komitmen ahli UMNO masih menebal untuk menghadapi PRK kali ini walaupun akaun Ibu Pejabat UMNO dan Badan Perhubungan UMNO Selangor dibekukan.

“Kami amat yakin bahawa mereka yang bersimpati dengan UMNO masih ramai lagi, biarpun sedikit sumbangan yang diberikan oleh mereka tetapi kami yakin komitmen mereka masih menebal.

“Kita (UMNO) tidak akan berbelanja seperti PRK terdahulu tetapi pegangan kita ialah ‘low cost high impact’ (kos rendah berimpak tinggi),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 8:50 PM