Zuliaty Zulkiffli
cnews@nstp.com.my


MUSIM durian ‘luar biasa’ buka pintu rezeki kepada peniaga yang dapat menjual antara empat ke lima tan raja buah itu setiap hari di kedainya di Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) FAMA, Kepala Batas.

Peniaga, Mohd Azizi Azizan, 28, berkata, dia terpaksa menambah stok durian kampung itu sehingga lima tan sehari mulai semalam, berikutan durian yang dijual di kedainya habis dalam masa 30 minit sebelum ini.

Mohd Azizi berkata, dia sebelum ini terpaksa menanggung kerugian sepanjang Ramadan lalu, akibat jualan buah-buahan merudum, namun jualannya kembali meningkat ketika ini.

“Kebanyakan stok ini dibeli dari Balik Pulau, Pulau Pinang dan Batu Kurau, Perak kerana berlaku lambakan durian di sana dan kami menjualnya di sini dengan harga antara RM5 hingga RM8 sekilogram.

“Saya memang tidak sangka ramai pelanggan sanggup datang jauh, ada yang datang dari luar Kedah semata-mata mahu menikmati durian dengan harga berpatutan dan isi yang baik,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


MOHD Azizi menunjukkan pulut durian yang dijual di gerai GBBS Kepala Batas,Jitra. -Foto AMRAN HAMID

Mohd Azizi berkata, selain menikmati keenakan durian, pelanggan juga boleh merasai hidangan pulut durian serta pelbagai jenis cendol termasuk cendol durian dan minuman buah-buahan lain.

“Ada pelanggan sanggup menunggu hampir dua jam di perkarangan gerai sehingga lori sampai bagi memilih sendiri buah yang mahu dibeli.

“Saya tidak kisah jika ada pelanggan datang merungut buah yang dibeli tidak memuaskan hati kerana kami sendiri tidak tahu berikutan jumlah yang tiba terlalu banyak,” katanya.

Mohd Azizi berkata, dia juga menambah penyediaan 15 kilogram pulut untuk dihidangkan kepada pelanggan setiap hari selain santan kelapa sawit segar.


MOHD Azizi memilih durian untuk pelanggannya di gerai GBBS Kepala Batas, Jitra. -Foto AMRAN HAMID

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 11:26 AM