Mohamad Sabu mahu TLDM lakukan siasatan segera dan menyeluruh. -Foto BERNAMA
Fazrik Kamarudin
cnews@nstp.com.my


MENTERI Pertahanan, Mohamad Sabu meminta pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melakukan siasatan segera dan mengeluarkan laporan terperinci berhubung kejadian Pegawai Kadet Graduan (PKG) J Soosaimanicckam yang mati mengejut semasa menjalani latihan di KD Sultan Idris, Lumut pada 19 Mei lalu.

Beliau memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara bebas dan adil serta tiada sebarang ‘cover up’ akan dilakukan.

“Saya juga merayu pihak keluarga mendiang bersabar dan menunggu sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya terbukti ada pihak yang terbabit dalam salah laku sehingga menyebabkan kematian J Soosaimanicckam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


KERATAN laporan Harian Metro.

Semalam, keluarga pelatih pegawai kadet berusia 27 tahun itu menuntut siasatan secara telus dilakukan bagi mengenalpasti punca sebenar kematian.

Selain itu, pihak TLDM juga turut diminta menjelaskan sebab Soosaimanicckam tetap diarahkan untuk meneruskan latihan ketenteraan meskipun dia sudah memaklumkan kepada pegawai penyelianya tentang keadaan kesihatan diri yang tidak mengizinkan untuk meneruskan latihan pada hari sama dia disahkan meninggal dunia.

Peguam bela keluarga mangsa, N Surendran berkata, sehingga hari ini, pihak TLDM masih gagal menjelaskan sebab utama kematian mangsa sehingga wujud elemen mencurigakan termasuk berkemungkinan berlakunya unsur penderaan.

Berita berkaitan

Pegawai TLDM meninggal dunia selepas latihan

[UPDATE] Ajal J Soosaimanicckam kerana paru-paru berair

Tuntut jawapan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 11:28 AM