Amir Abd Hamid dan Mohd Firdaus Ibrahim
cnews@nstp.com.my

Nilai: Mangsa kemalangan jalan raya tidak lagi perlu ke balai polis untuk membuat laporan dan boleh menyelesaikan urusan berkaitan di lokasi dengan bantuan disediakan Unit Siasatan Lebuhraya (USLR) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Namun, setakat ini unit di bawah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman hanya beroperasi di laluan sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Pegawai Turus Siasatan Lebuh Raya Asisten Superintendan Md Firdaus Razak berkata, menerusi perkhidmatan itu mangsa perlu menghubungi Bilik Gerakan Trafik Bukit Aman di talian 03-2266 3356 atau Pusat Kawalan Trafik Plus 1800880000 bagi memaklumkan kejadian kepada USLR.

Beliau berkata, menggunakan bantuan peralatan mudah alih, pegawai dan anggota USLR boleh menerima serta mencetak laporan polis atau mengeluarkan saman jika mengesan sebarang pelanggaran peraturan lalu lintas.

“Jadi, pengguna tidak lagi perlu bersusah payah memandu ke balai polis berkenaan untuk buat laporan, malah urusan berkaitan tuntutan insurans kemalangan menjadi lebih senang.

“Jika sebelum ini mangsa kemalangan perlu ke balai polis, tapi sekarang tak perlu lagi. Kami beroperasi 365 hari setahun di laluan sepanjang 863.7 kilometer itu.

“Berdasarkan statistik, bagi tempoh 9 Februari hingga 7 Julai saja, kami kendalikan 3,152 kes dengan semua diselesaikan di lokasi kemalangan,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan pemantauan lalu lintas di Hentian sebelah Nilai arah selatan, di sini, semalam.


SIMULASI kemalangan membabitkan USLR di bawah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman ketika menguruskan kemalangan dengan segera tanpa perlu ke balai polis berdekatan.

Menurutnya, penyelesaian hal berkaitan dokumentasi dilakukan terus di lokasi kemalangan dapat mengelakkan kelewatan atau membantutkan siasatan sesuatu kes.

Malah, katanya, dalam sesetengah kes ada pihak yang terbabit dalam kemalangan enggan membuat laporan polis menyebabkan mangsa tidak boleh membuat tuntutan insurans.

Md Firdaus berkata, pihaknya turut melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan cara paperless (tanpa kertas) dalam proses melakukan dokumentasi seperti lakaran dan foto kejadian kemalangan.

“Semuanya direkodkan menerusi sistem bersepadu atas talian. Namun, sekiranya pihak yang berkenaan mahukan salinan, kami cetak dan serahkan kepada mereka.

“Sebenarnya USLR aktif sejak 25 Mac tahun lalu namun masih ramai pengguna Lebuhraya PLUS tidak tahu. Jadi, sekiranya berlaku kemalangan, jangan panik atau bertengkar.

“Hanya hubungi bilik gerakan Trafik Bukit Aman atau Pusat Kawalan Trafik Plus dan kami dengan kadar segera USLR akan ke lokasi kejadian.

Beliau memberitahu satu kajian dijalankan untuk meluaskan lagi perkhidmatan USLR di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) bagi memudahkan pengguna di laluan itu.

“Perkhidmatan kami khusus untuk kemalangan ringan, namun unit ini turut kendalikan kemalangan berat membabitkan cedera parah atau kematian.

“Apa pun pengguna diminta memandu dan menunggang dengan cermat untuk elakkan kemalangan. Namun malang tidak berbau, jika terbabit juga kemalangan kami segera membantu anda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 11:31 AM