ZAKIR. FOTO Arkib NSTP
Wartawan NSTP


KERAJAAN India mengesahkan sudah menghantar permohonan rasmi bagi mengekstradisi penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik, pada Januari tahun lalu.

Menurut laporan portal Malaysiakini, jurucakap Menteri Hal Ehwal Luar India, Shri Raveesh Kumar mengesahkan perkara itu kepada pihaknya melalui e-mel hari ini.

“Pada Januari tahun ini, kami membuat permohonan rasmi untuk ekstradisi Zakir Naik, wargan India yang kini tinggal di Malaysia dan dikehendaki atas kes jenayah di India.

“Permohonan ekstradisi kami sedang dalam pertimbangan pihak berkuasa Malaysia," katanya merujuk kepada perjanjian ekstradisi antara kedua-dua negara yang ditandatangani pada 2010.

Raveesh berkata, kerajaan India berhubung rapat dengan rakan sejawat mereka di Malaysia dalam mengikuti perkembangan Zakir yang kini mendapat status penduduk tetap di negara ini.

Kenyataan e-mel itu mengesahkan laporan yang mengatakan kerajaan India sudah memohon ekstradisi Zakir sebelum ini.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, enggan mengesahkan adanya permohonan itu.

Menteri Tenaga Manusia, M Kulasegaran pula berkata, kerajaan akan bertanya kepada peguam negara sama ada terdapat permohonan rasmi daripada kerajaan India berhubung perkara itu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata Malaysia tidak akan ‘tunduk’ kepada desakan untuk menghantar pulang Zakir ke India memandangkan beliau tidak mempunyai kes jenayah di negara ini.

Zakir berdepan dakwaan mahkamah di India berhubung pengubahan wang haram, menyokong aktiviti keganasan dan mencetuskan ketegangan agama.

Pada 11 Julai lalu, Zakir berterima kasih kepada kerajaan Malaysia, khususnya Dr Mahathir kerana terus membenarkannya berada di negara ini selagi beliau terus mematuhi undang-undang negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 11:01 PM