SUSPEK direman tujuh hari bagi membantu siasatan. FOTO Mohd Hilmie Hussin
Mohd Hilmie Hussin


LELAKI warga Bangladesh direman tujuh hari bagi membantu siasatan selepas dipercayai mencabul kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di Kampung Bukit Darat, Tanjung Kling, Melaka, 5 Julai lalu.

Perbuatan keji lelaki berusia lingkungan 50 tahun itu hanya diketahui ibu mangsa seminggu selepas kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, masa sebenar kejadian tidak dapat dipastikan namun berdasarkan maklumat diberikan kanak-kanak itu, kejadian dipercayai berlaku pada 2 petang, 5 Julai lalu.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa bermain di sekitar kawasan rumah sewa suspek iaitu kira-kira 200 meter dari kediaman keluarganya. Pada waktu kejadian, ibu mangsa berkerja manakala mangsa dijaga ibu saudaranya.

“Ketika bermain dan makan buah-buahan di kawasan rumah suspek, mangsa dipercayai diajak masuk ke dalam rumah lalu suspek mencabul dengan memasukkan jari ke dalam kemaluan dan dubur mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pada Khamis lalu, mangsa memberitahu ibunya mengenai kejadian itu.

Mohd Nor Yhazid berkata, ibu mangsa kemudian membuat laporan polis Jumaat lalu dan pemeriksaan ke atas mangsa dijalankan di Hospital Melaka pada 6 petang, hari sama mendapati ada kesan tusukan pada kemaluan dan dubur mangsa.

“Susulan itu, sepasukan anggota menahan lelaki Bangladesh yang berkerja sebagai penjual daging, di sini,” katanya.

Beliau berkata, suspek kali terakhir pulang ke Bangladesh pada Jun lalu dan direman tujuh hari bermula semalam, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14A Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 6:11 PM