SUASANA di dalam Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Asyraf Hamzah
Rohaniza Idris


BEBERAPA Menteri dan Timbalan Menteri dijangka dilantik selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara.

Difahamkan, majlis angkat sumpah itu akan diadakan di Istana Negara.

Sementara itu, menurut surat jemputan, lapan individu termasuk lima pemimpin parti politik akan mengangkat sumpah sebagai Senator.

Mereka ialah Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Pulau Pinang Marzuki Yahya, Ketua PPBM Bahagian Ketereh Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Empat lagi ialah Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) P Waytha Moorthy, Datuk Ismail Ibrahim, Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Hussin Awang dan Asmak Husin.

Waytha Moorthy pernah dilantik sebagai sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2013 melalui lantikan Senator.

Bagaimanapun, beliau meletakkan jawatan selepas 10 bulan berkhidmat tanpa memberitahu alasan peletakan jawatan itu.

Raja Kamarul Bahrin, Waytha Moorthy, Dr Radzi, Marzuki, Chin Tong dan Ismail akan mengangkat sumpah atas lantikan Yang di-Pertuan Agong, manakala Husin dan Asmak dipilih Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dan Kelantan.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan ada tiga kekosongan bagi jawatan Timbalan Menteri yang akan dilantik dalam kalangan Senator.

Bulan lalu, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menyatakan seorang senator yang menjawat jawatan menteri atau timbalan menteri akan dilantik dari Kelantan dan Terengganu walaupun Pakatan Harapan gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen di kedua-dua negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke- 14 (PRU14).

Sementara itu, sumber memberitahu, kemungkinan Raja Kamarul Bahrin, Dr Mohd Radzi dan Chin Tong akan dilantik Timbalan Menteri.

Chin Tong pernah menjadi Ahli Parlimen Kluang tetapi pada PRU-14, beliau kalah di Parlimen Ayer Hitam kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Setakat ini, hasil semakan senarai Menteri dan Timbalan Menteri, satu kekosongan untuk jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi menjaga Hal Ehwal Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial.

Ini berikutan dalam kementerian itu ketika ini hanya melantik Timbalan Menteri bagi portfolio berkenaan iaitu Dr Md Farid Md Rafik.

Bagi jawatan Timbalan Menteri tiga kementerian yang masih kosong ialah Kementerian Luar, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Sumber memberitahu berdasarkan latar belakang senator yang dilantik, Raja Kamarul Bahrin mungkin tidak akan dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertahanan kerana menterinya adalah Mohamad Sabu yang juga Presiden AMANAH dan berkemungkinan beliau menjadi Timbalan Menteri Luar.

Dr Mohd Radzi yang juga bekas pensyarah perakaunan forensik, berkemungkinan dilantik Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Sejak dua minggu lalu, sumber PH menyatakan kemungkinan Chin Tong bakal dilantik Timbalan Menteri Pertahanan sebagai langkah strategik untuk memecahkan imej angkatan tentera disertai satu kaum saja dan pelantikan bukan Melayu ke jawatan kanan kerajaan yang sekian lama dipegang orang Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 11:43 PM