SUGANESWARAN mendukung Krishentra Sri sambil diperhatikan Mhesarubashree (kiri) dan anak.
Ruwaida Md Zain

Klang: Suami isteri hampir menjual rumah lima tahun lalu demi merawat dan memastikan bayi mereka yang menderita injap jantungnya mempunyai dua lubang pulih.

Namun, kehadiran pihak Tabung Kebajikan Media Prima-NSTP membawa khabar gembira dan mengubah rancangan S Suganeswaran, 37, serta isterinya, P Mhesarubashree, 34, ketika itu.

“Kami tidak pernah terfikir dapat sumbangan ini untuk pembedahan anak kami, S Krishentra Sri (5 tahun) oleh orang ramai menerusi sumbangan Tabung Kebajikan Media Prima-NSTP.

“Kami hampir menjual rumah kami untuk menampung kos pembedahan anak kami tetapi akhirnya mereka datang membantu pada saat kami memerlukan, sedangkan kami tidak meminta daripada sesiapa.

“Mereka datang menghulurkan bantuan kepada kami. Terima kasih banyak atas bantuan semua,” katanya.

Dia berkata demikian ketika menerima kunjungan pihak Media Prima Berhad (MPB) dan Hospital Gleneagles, semalam.

Ketika berkongsi kisah lima tahun lalu itu, Suganeswaran berkata, mereka mengalami kesukaran dan tidak mampu menampung kos pembedahan yang hampir mencecah RM48,000.

“Pada mulanya anak kami dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang sebelum doktor mencadangkan agar kami mendapatkan rawatan dan menjalankan pembedahan di Hospital Gleneagles.

“Selepas mengadakan temujanji dengan pakar di Hospital Gleneagles, akhirnya kami dapat dan layak menerima sumbangan untuk pembedahan anak kami dan pembedahan itu berjaya,” katanya.

Kegembiraan menjengah keluarga itu sekali lagi pada 2015 apabila dia, isteri dan seluruh keluarga dimaklumkan oleh doktor yang mengesahkan anak kedua daripada tiga beradik itu sihat sepenuhnya.

“Anak kami kini seperti kanak-kanak normal lain. Dia sangat aktif dan tiada sebarang masalah kesihatan.

“Ini tidak akan berlaku tanpa bantuan doktor dan orang ramai yang menyumbang menerusi Tabung Kebajikan Media Prima-NSTP. Kami sangat berterima kasih dan menghargainya,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, dia sekeluarga sangat berharap agar orang ramai terus menghulurkan sumbangan kepada tabung berkenaan agar lebih ramai anak yang menderita dan insan memerlukan dibantu sebagaimana diterima mereka sekeluarga.

“Orang ramai perlu tahu dan sedar kewujudan tabung ini. Rakyat Malaysia perlu bersama-sama menyumbang kepada tabung ini.

“Sumbangan ini penting dan boleh digunakan untuk bantu insan memerlukan, terutama mereka yang menghadapi masalah kewangan untuk merawat ahli keluarga yang sakit seperti anak kami dulu,” katanya.

Bagi mereka yang ingin membantu kes baru, sumbangan boleh disalurkan ke Tabung Kebajikan Media Prima-NSTP di akaun Maybank 5141-0532-3170.

Ia juga boleh dibuat melalui cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek dan dihantar ke Media Prima Berhad, Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan, Tingkat 3, Anjung Liku Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 10:33 AM