GAMBAR hiasan
Nor Azura Abdul Jalil


REMAJA perempuan didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan mencuri beg tangan milik seorang penuntut universiti, Jumaat lalu.

Majistret Namirah Hanum Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap Nur Ainadia Saamah, 20, selepas tertuduh mengaku salah sebaik saja pertuduhan dibacakan kepadanya.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri beg tangan jenama Kate Spade yang mengandungi sebuah telefon bimbit kad pengenalan, dua kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), wang tunai RM40 dan kad pelajar milik Nur Syafiqah Hanis Saiful Baharim, 22.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di depan surau perempuan, Tingkat 3, Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Cheras, Kuala Lumpur pada 11.30 malam, 13 Julai lalu.

Remaja itu didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda.

Terdahulu, peguam Iqhmar Azmi yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan hukuman ringan ke atas anak guamnya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zikri Jaafar memohon hukuman setimpal mengambil kira kejadian berlaku di hadapan surau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 6:36 PM