Mohd Husni Mohd Noor


KERAJAAN dijangka dapat 'memulangkan semula' RM23 bilion kepada rakyat setahun menerusi pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan mula dilaksanakan 1 September ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, sistem cukai SST tidak mungkin membebankan rakyat kerana jumlah kutipannya hanya dianggarkan RM21 bilion setahun berbanding anggaran kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bernilai RM44 bilion berdasarkan sasaran kerajaan terdahulu.

“Oleh itu, jika dibandingkan dengan hasil kutipan GST, kerajaan akan dapat memulangkan semula RM23 bilion kepada rakyat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, katanya, beliau juga mahu UMNO dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak cuba mengelirukan rakyat dengan mendakwa sistem cukai SST membebankan rakyat berbanding GST.

“UMNO dan Datuk Seri Najib perlu menjelaskan bagaimana SST membebankan rakyat berbanding GST. Ini (kenyataan) adalah tidak benar dan amat mengelirukan, kerana kita tidak boleh sewenang-wenangnya menambah peratusan cukai jualan dan cukai perkhidmatan.

“Kenyataan palsu yang disebarkan oleh UMNO bahawa sistem cukai SST adalah lebih membebankan rakyat berbanding sistem cukai GST adalah tidak masuk akal sama sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 7:10 PM