Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


SEPUCUK pistol, senapang angin dan lebih 100 butir peluru ditemui di lokasi kemalangan membabitkan empat kenderaan yang meragut dua nyawa di Kilometer 132.4 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), malam semalam dipercayai milik ahli perniagaan yang maut dalam insiden itu.

Siasatan polis di tempat kejadian menemukan pistol Smith & Wesson Compact, senapang angin bersama dua peluru di dalamnya, 23 butir peluru jenis Rimba 12 Bore warna biru, 35 butir peluru Mega 12 Bore warna hijau, peluru Buck Shot 12 Bore, dan dua kotak peluru 9mm Br.c S&B mengandungi 88 butir peluru.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, siasatan awal mendapati senjata api dan peluru itu dipercayai milik Low Kim Boon, 65, yang terbunuh ketika memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota FJ Cruiser.

Beliau berkata, dalam nahas pada jam 8.30 malam, Kim Boon dan Nur Rashila Rosdan, 22, meninggal dunia di tempat kejadian berikutan kecederaan parah di kepala serta beberapa bahagian badan akibat tercampak dari kenderaan masing-masing.

“Semua senjata api dan peluru terbabit dipercayai milik Kim Boon yang difahamkan adalah ahli perniagaan.

“Kes diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Terdahulu dalam satu kenyataan media, pagi tadi, Kamarulzaman berkata, siasatan awal mendapati Perodua Myvi dipandu Nur Rashila di lorong kanan dari arah Kuantan menuju ke Temerloh, melanggar bahagian belakang lori membawa muatan plastik di lorong kiri lebuh raya itu.

Katanya, kereta berkenaan kemudian dirempuh Toyota FJ Cruiser dipandu Kim Boon dari arah belakang menyebabkan kenderaan itu tercampak ke laluan bertentangan sebelum terjatuh ke dalam gaung.

“Perodua Myvi berkenaan kemudian turut dilanggar Proton Iswara yang datang dari arah Kuantan.

“Berdasarkan siasatan serta keterangan saksi, kita percaya punca kemalangan akibat pemandu Perodua Myvi memandu memandu dalam keadaan mengantuk sebelum melanggar bahagian belakang lori,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pemandu lori Che Sharif Saad, 43, dan pemandu Proton Iswara, Sheikh Mohd Haniff Sheikh Hashim, 61, tidak mengalami kecederaan.

Mayat mangsa yang maut dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah untuk bedah siasat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan

2 maut kemalangan 4 kenderaan, senjata api ditemui

Dua maut dalam nahas di LPT

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 3:07 PM