GAMBAR HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


LELAKI melecur pada badan dan kakinya selepas tong gas di dapur rumah keluarganya di Taman Desa Kasia, Bandar Baru Nilai, meletup dalam kejadian hari ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Raihan Che Mat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada jiran mangsa yang memaklumkan kejadian pada 8.44 pagi.

"Sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota bergegas ke lokasi, namun sebaik tiba mangsa berusia 30 tahun itu sudah dibawa ke hospital oleh jirannya.

"Hasil pemeriksaan tidak berlaku kebakaran dan kerosakan pada struktur rumah teres dua tingkat itu. Anggota menjalankan kerja pemantauan dan mengeluarkan tong gas terbabit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Raihan berkata, berdasarkan maklumat, kejadian berlaku ketika mangsa sedang memeriksa tong gas berkenaan selepas pembantu rumah memberitahu terhidu bau gas.

Bagaimanapun, katanya, punca kejadian sebenar masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 3:20 PM