NURUL Izzah berucap ketika pembentangan kertas kerja di Persidangan Dunia Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT) 2018 di Ipoh, hari ini. FOTO L Manimaran
Shaarani Ismail


AHLI Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar tetap mengotakan janjinya untuk membawa kumpulan muzik kegemarannya, Radiohead bagi mengadakan konsert amal di Malaysia.

“Jika mereka (Radiohead) setuju dengan cadangan saya untuk mengadakan konsert amal, saya akan bawa.

"Jadi (media) janganlah laporkan lagi dengan terperinci, nanti kalau surat tak keluar Radiohead tolak. Siapa yang perlu dipersalahkan... media Malaysia juga (yang dipersalahkan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi panel pada hari terakhir Persidangan Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam Ke-5 2018 (WCIT 2018) di Pusat Konvensyen Aman Jaya, Ipoh, hari ini.

Ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Nurul Izzah berjanji membawa kumpulan rock berasal dari Abingdon, Oxfordshire itu ke negara ini jika Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan.

Berdasarkan kenyataannya sebelum ini, beliau akan membawa kumpulan itu ke Malaysia selepas Ramadan bagi menghormati bulan berkenaan selain perlu memberikan perhatian kepada isu lebih penting.

Beliau juga dilaporkan berkata, urusan untuk membawa kumpulan kegemarannya bakal membabitkan banyak perbincangan termasuk beberapa prasyarat tertentu yang perlu diambil kira supaya tiada kebimbangan dibangkitkan kelak.

Anak sulung pasangan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu berkata, beliau komited untuk menunaikan janji yang dibuatnya.

Komitmen itu turut dinyatakan beliau di laman media sosial Twitternya, baru-baru ini.

Kumpulan Radiohead yang ditubuhkan pada 1985 di United Kingdom, terkenal dengan beberapa lagu antaranya Creep, No Surprises, Karma Police, Exit Music, High and Dry dan My Iron Lung.

Kumpulan rock Inggeris itu dianggotai oleh Thom Yorke (penyanyi, gitaris dan pemain piano), Jonny Greenwood (gitaris utama dan keyboard), Colin Greenwood (bass), Ed O'Brien (gitaris, penyanyi latar) dan Philip Selway (pemain dram dan instrumen perkusi).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 9:28 PM