PEMOHON memenuhi aras bawah pusat operasi TH di Abraj Al-Janadriyah untuk menjadi 'pembadal' atau pelaksana upah haji.
Tuan Asri Tuan Hussein


KEADAAN di aras bawah pusat operasi Tabung Haji (TH) di bangunan Abraj Al-Janadriyah, Makkah, sedikit sesak apabila ratusan peduduk tempatan hadir untuk menjadi 'pembadal' atau pelaksana upah haji.

TH menerima 4,927 permohonan badal haji daripada umat Islam di Malaysia sejak permohonan secara dalam talian diperkenalkan buat pertama kalinya pada Mei lalu.

Pengarah Operasi Bimbingan Tabung Haji, Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, jumlah itu adalah paling tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini. Tahun lalu jumlah permohonan yang diterima ialah 3,900.

Menurutnya, khidmat badal atau upah haji adalah satu khidmat sokongan yang disediakan TH kepada umat Islam Malaysia yang ingin melakukan ibadat haji atas nama ahli keluarga atau sesiapa saja yang sudah meninggal dunia.

Beliau berkata, sehingga pagi Khamis lalu pihaknya sudah menyempurnakan 3,300 permohonan badal haji dengan menyerahkan surah pelantikan kepada pembadal yang terpilih dan yakin baki 1,627 lagi akan diselesaikan dalam masa terdekat.

"Dalam pangkalan data TH ada 5,600 pembadal yang sudah kita temuduga dan dikenal pasti layak untuk kita serahkan amanah untuk melaksanakan badal haji.

"Bagaimanapun, ramai pembadal bukan warga Arab Saudi dan tahun ini kita ada sedikit masalah berkaitan permit mereka kerana pihak berkuasa Arab Saudi tidak membolehkan mereka tinggal lama di sini.

"Mereka kena pulang sementara ke tanah air mereka sama ada Thailand atau Indonesia. Jadi, kita ada sedikit kekurangan pembadal tapi kita akan pastikan semua 4,927 pemohonan badal haji yang kita terima, akan kita laksanakan tahun ini," katanya.

Disebabkan itu TH membuka peluang untuk penduduk Makkah memohon menjadi pembadal haji dan ia mendapat sambutan hangat hingga menimbulkan sedikit kesesakan di bangunan Abraj Al-Janadriyah pada Rabu dan Khamis lalu.


Setiap pemohon yang ingin menjdi pembadal haji ditemuduga terlebih dulu.

Tengku Aziz berkata, disebabkan kekangan untuk menyediakan pembadal, pihaknya menetapkan jumlah maksimum permohonan badal haji yang akan disempurnakan ialah 5,000.

"Jika ada permohonan lagi sehingga melebihi 5,000 ia kita akan bawa ke tahun berikutnya," katanya.

Menurutnya, upah bagi melaksanakan badal haji ialah RM3,000 atau 2,400 riyal dan bayaran inilah yang diberikan kepada pembadal menerusi dua peringkat iaitu sebelum dan selepas wukuf.

"Pembayaran peringkat pertama sebanyak 1,000 riyal dibuat ketika mereka menerima surat lantikan dan ketika pembayaran kedua untuk menyelesaikan bakinya, kita akan tanya dan semak untuk sahkan yang mereka benar-benar sudah laksanakan badal haji dan badal umrah bagi si mati," katanya.

Sementara itu, pembadal Yaakob Ramli, 40, berkata, dia sudah lapan tahun berturut-turut menjadi pelaksana badal haji yang diamanahkan kepada TH oleh umat Islam di Malaysia.

Yaakob berkata, dia dilahirkan di Makkah dan ibu bapanya berasal dari Patani, Selatan Thailand dan status sebagai 'ahli' (penduduk) Makkah memberi kelebihan kepadanya untuk menjadi pembadal haji.

"Sebagai ahli Makkah, kami tak perlu permit tapi kalau orang kuar Makkah, contohnya dari Jeddah atau Madinah, mereka dikenakan bayaran dan perlu permit untuk buat haji," katanya.

Yaakob berkata, walaupun organisasi pengurusan haji dari negara lain juga ada menawarkan penduduk tempatan untuk menjadi pembadal, dia tidak pernah menyertainya kerana lebih senang dan selesa dengan TH.

"Sistem TH menyenangkan. Semua urusan cepat dan lacar. Bayaran yang diberi kepada kami juga amat memuaskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 11:26 AM