KEADAAN ketika penamaan calon semalam di Sungai Kandis. FOTO/FAIL
Tharanya Arumugam


KEMPEN untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini, bermula hari ini selepas penamaan calon, semalam.

Calon PRK Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni daripada PKR; calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam (juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO) dan calon Bebas, K Murthy diperuntukkan 13 hari untuk berkempen sebelum hari mengundi.

Mohd Zawawi dan Lokman dijangka menghadiri pelbagai acara selain solat berjemaah sepanjang hari ini, manakala calon Bebas agak berahsia dengan gaya kempennya.

Kedua-dua calon memulakan kempen pagi ini dengan solat Subuh masing-masing di Masjid An-Naim, Jalan Kebun dan Masjid Al Rahimiah.

Ia kemudian diikuti dengan program bersarapan, bertemu rakyat dan lawatan kawasan di lokasi terpilih.

Mohd Zawawi dijangka menghadiri Program Insan Briged Wanita Prihatin di Hotel Aliya, Klang tengah hari ini.

Beliau juga dijangka menghadiri pelancaran Bilik Gerakan di Jalan Bukit Kemuning, Seksyen 34, 5 petang, hari ini.

Calon BN pula akan melawat rumah pemimpin setempat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, selain menghadiri majlis doa selamat pada 11 pagi untuk penduduk yang akan mengerjakan haji tahun ini.

Mohd Zawawi akan mengakhiri hari pertama kempen pilihan rayanya dengan solat Isyak berjemaah di Surau Al-Idrisiah Kampung Baru 2, manakala Lokman akan bercakap pada ceramah pertamanya sebagai calon BN di Sungai Kandis.

Program berkenaan akan diadakan bermula 9.30 malam di Kampung Jawa dan Andalas.

Pengundi Sungai Kandis bakal menyaksikan apa janji dan perancangan yang akan dibawakan kesemua calon kepada mereka dan kawasan itu sepanjang tempoh berkempen ini.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma. Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mat Shuhaimi memperoleh 23,998 undi, mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518 undi), Mohd Yusof Abdullah dari PAS (7,573 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hanafiah Husin (76 undi).

• Lagi

berita PRK Sungai Kandis

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 9:00 AM