NUR Fatini bersama Nur Afiqah (kanan) bersama pingat dan replika cek yang dimenangi pada Pertandingan Memasak Chef Remaja Sekolah Menengah 2018 peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
NUR Fatini bersama Nur Afiqah (kanan) bersama pingat dan replika cek yang dimenangi pada Pertandingan Memasak Chef Remaja Sekolah Menengah 2018 peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Noor Atiqah Sulaiman


MENU nasi goreng tomyam, paprik ayam dan ikan cukup rasa bersama salad serta mi segera goreng menarik perhatian juri sekali gus melayakkan dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1) bergelar juara dalam Pertandingan Memasak Chef Remaja Sekolah Menengah 2018 peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Kemenangan itu membolehkan Nur Fatini Mohd Nizam dan Nur Afiqah Rosli, 15, terpilih ke saingan akhir peringkat kebangsaan di Alor Setar, Kedah, pada Oktober ini.

Ketua kumpulan, Nur Fatini berkata, dia dan Nur Afiqah memilih tema makanan sihat dengan hanya menggunakan sedikit minyak dan mengimbangkan bahagian makanan mengikut piramid makanan.

Menurutnya, kemenangan itu tidak dijangka kerana ia turut disertai oleh juara bertahan yang memenangi pertandingan sama, tiga kali berturut turut.

“Atas sebab itu saya tidak meletakkan apa-apa harapan untuk menang.

“Syukurlah, dengan berkat dan usaha yang diberikan oleh guru serta ahli keluarga akhirnya kami berjaya memenangi pertandingan ini.

“Selepas ini, kami akan membuat lebih banyak rujukan sebagai persiapan untuk ke peringkat akhir,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, semalam.

Kedua-dua pelajar terbabit membawa pulang wang tunai RM500, sijil penyertaan dan hamper.

Hadiah disampaikan Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia, Rozainum Ahmad.

Hadir sama, Pengurus Pemasaran [email protected] Liew Pooi Wan.

Sementara itu, Nur Afiqah berkata, walaupun tarikh pertandingan akhir hampir dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), namun ia tidak melunturkan semangatnya untuk memberikan yang terbaik.

“Selalunya kami banyak berbincang dengan guru, dan akan memasak seminggu sekali atau dua kali sebagai persiapan.

“Makanan yang dimasak hari ini juga akan diolah balik dan dibuat penambahbaikan, mungkin menu ini akan digabungkan dengan menu baharu,” katanya.

Pertandingan memasuki tahun ke-22 itu bertujuan menyemai tabiat makan dan memasak makanan berkhasiat dalam kalangan pelajar sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 6:19 PM