Joshua Eric
cnews@nstp.com.my

Betong: Pasar Lama Betong, di sini, musnah dalam kebakaran semalam yang turut mencetus gempar dalam kalangan penduduk sekitarnya.

Difahamkan, kejadian bermula di dua premis perniagaan di pasar berkenaan sebelum merebak ke dua lagi premis perniagaan berhampiran pada jam 9.47 pagi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, seramai 22 anggota bomba masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dan BBP Saratok dikerahkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.

“Kita menggunakan kaedah ‘fire break’ dengan membuka bumbung di tingkat dua rumah kedai berkenaan bagi mengawal api daripada terus merebak ke premis perniagaan bersebelahan,” katanya.


KEBAKARAN melibatkan empat buah kedai dua tingkat di Pasar Lama Betong.

Menurutnya, dua premis perniagaan musnah sama sekali dalam kejadian itu, manakala dua lagi premis yang terletak bersebelahan mengalami kerosakan 80 peratus.

“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya.

Bangunan Pasar Lama Betong cukup ikonik dalam kalangan penduduk setempat kerana ia antara premis perniagaan tertua di bahagian itu yang menjadi tumpuan umum bagi mendapatkan barangan keperluan harian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 10:36 AM