Skip this ad x
Hafizah Iszahanid

Kuala Lumpur: Pemergian Khalid Salleh, 70, bukan saja kehilangan besar dalam dunia sastera, juga arena perfileman tanah air. Pembabitan Khalid atau ‘Wak Khalid’ ini dalam filem jarang diperkatakan malah tidak diendahkan langsung kerana imejnya yang tidak glamor itu, namun Khalid adalah hero Melayu kedua selepas Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang berjaya menggondol anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Asia.

Jika P Ramlee mencipta sejarah di Festival Filem Asia (FFAP) Ke-4 di Tokyo pada 1957 melalui filem Anakku Sazali arahan Phani Majumdar, Khalid membuat kejutan selepas 41 tahun anugerah itu tidak dirangkul oleh hero kita apabila muncul Pelakon Lelaki Terbaik FFAP Ke-43 di Taipeh pada 1998 menerusi filem Jogho arahan U-Wei Shaari.

Sama seperti P Ramlee yang berpegang pada prinsip seni untuk masyarakat, tiada bezanya dengan Wak Khalid kerana sekalipun meraih anugerah berprestij, dia biasa-biasa saja dan tiada majlis diraikan buatnya.

Sama ada dihargai atau tidak, sedikit pun tidak mengguris hati Khalid Salleh malah jiwanya bertambah membara untuk mencurah bakti pada seni khususnya dalam dunia sastera terutama teater dan penulisan.

Khalid meninggal dunia di Pusat Perubatan Ampang Puteri kira-kira jam 3.20 petang semalam seperti disahkan Bahagian Komunikasi Korporat Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).


KHALID Salleh.

Tiga karyanya diterbitkan ITBM iaitu Pandirnya Si Pandir, Kalau Aku Jadi PM dan Kena Main manakala buku politiknya, Melayu Hilang di Dunia diterbitkan sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Mohd Khair Ngadiron berkata, pemergian Wak Khalid sangat dirasai kerana keperibadiannya yang mulia dan semangat seniman yang tulen.

“ITBM pernah bekerjasama dengan beliau menerusi program Dari Stesen ke Stesen: Monolog Jual Ubat yang dipentaskan di lapan stesen kereta api utama tanah air.

“Malah beliau kerap bersama kami termasuk ketika membawa monolog berkenaan ke Indonesia. Beliau seorang yang sederhana dan melakukannya tanpa bayaran, sebaliknya dengan hasrat untuk mengeratkan hubungan antara Malaysia dengan Indonesia,” katanya.

Mohd Khair berkata, Wak Khalid ialah seniman rakyat dan wira sebenar. Sementara itu, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad menyifatkan pemergian Wak Khalid sebagai kehilangan yang besar dalam perjuangan memartabatkan bahasa dan sastera.

“Beliau sangat jujur dan prinsip perjuangannya sangat jelas. Beliau kerap turun padang untuk bersama-sama dalam kegiatan sastera.

“Beliau juga sensitif dengan perkembangan semasa dan tidak takut untuk menyebut kepincangan politik yang dilihatnya,” katanya yang menyifatkan buku tulisan Khalid seharusnya dibaca oleh generasi muda sebagai panduan.

Bagi pengarang dan penulis skrip drama pentas serta televisyen, Siti Jasmina Ibrahim yang pernah bekerjasama dengan Khalid untuk pementasan teater Jejak Pahlawan pada 1998 menyifatkan Wak Khalid sebagai seniman yang dekat dengan rakyat.

“Wak yang saya kenal sangat mahir dalam bidangnya. Beliau tahu apa yang dibuat dan dalam pemilihan pelakon, beliau teliti dan tahu kelebihan setiap pelakon,” katanya.


Gandingan mantap filem Jogho, Pelakon Filem Lelaki Terbaik, Khalid (kiri), Pengarah Filem Terbaik, U-Wei dan Pelakon Wanita Terbaik, Normah Damanhuri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 10:51 AM