LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Muhamaad Razis Ismail


“SAYA tidak salahkan mereka (pihak TASKA)," kata Zainal Abidin Deraman, 34, bapa kepada bayi berusia empat bulan yang meninggal dunia dipercayai tersedak susu di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA), Bukit Baru, Melaka, semalam.

Difahamkan, kejadian itu hanya disedari guru TASKA terbabit jam 11.45 pagi selepas mendapati muka Yusuf Al Baihaqi bertukar kebiruan.

Pemeriksaan lanjut di Hospital Melaka mengesahkan anak bongsu daripada dua beradik itu sudah meninggal dunia.

Zainal berkata, dia dan isterinya, Roslina Ismail, 34, dimaklumkan doktor punca kematian anaknya berkemungkinan disebabkan jangkitan kuman di paru-paru.

Katanya, bagaimanapun mereka masih lagi menunggu laporan makmal untuk mengesahkan perkara itu.

“Selepas bedah siasat selesai jam 1 pagi, doktor maklumkan tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kesan dera.

“Maklumat awal kematian kemungkinan berpunca daripada jangkitan kuman di paru-paru dan kami masih menunggu laporan penuh.

“Saya pun belum berfikir sebarang tindakan lanjut dan saya tidak salahkan pengasuh," katanya ketika ditemui selepas urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Bakat di Bachok, hari ini.

Terdahulu, suasana pilu menyelubungi urusan pengebumian jenazah yang tiba kira-kira jam 9 pagi.

Turut kelihatan, kira-kira 20 ahli keluarga dan saudara untuk memberi penghormatan terakhir.

Menurutnya, dua anaknya termasuk anak perempuannya Amni Batrisyah berusia lapan tahun turut ditempatkan di TASKA terbabit sejak enam hari lalu selepas tamat sesi persekolahan.

“Saya reda cuma rasa macam ralat jugalah dengan kejadian ini sebab sudah lama menunggu untuk memperoleh anak kedua," katanya.

Akhbar NSTP hari ini melaporkan bayi itu dikatakan diberi minum susu dibekalkan ibunya jam 8.50 pagi dan pihak TASKA mendakwa bayi berkenaan disendawakan sebelum tidur.

Bagaimanapun, pengasuh dikatakan memeriksa bayi itu jam 11.45 pagi, namun mangsa tidak sedarkan diri sebelum membawanya ke hospital.

Berita berkaitan

Bayi maut dipercayai tersedak susu

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 1:15 PM