PEMANDANGAN udara puluhan rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Cenderamata 2 di Likas, Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Norasikin Daineh


SEBAHAGIAN penghuni di Kampung Cenderamata 2, Likas, Kota Kinabalu nekad terjun ke sungai untuk menyelamatkan diri apabila kawasan penempatan itu terbakar, hari ini.

Mangsa Rimah Mangkabong, 59, yang menetap di lorong lima kampung berkenaan antara hampir 1,000 penduduk yang tinggal sehelai sepinggang selepas kira-kira 150 rumah musnah dalam kebakaran itu.

Difahamkan, dalam kejadian jam 2 petang itu, Rimah melecur di paha dan belakang badan ketika cuba menyelamatkan diri serta luka di kaki dipercayai terkena benda tajam ketika terjun ke sungai.

Bagaimanapun, mangsa berjaya menyelamatkan diri dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Menurut penduduk, Sali Salmani, 48, dia menyedari kebakaran itu selepas terdengar jeritan jiran dan mendapati api sedang marak di lorong lima.

“Saya yang berada di lorong empat memaklumkan kepada jiran lain dan menyelamatkan perabot serta dokumen penting sebelum api merebak ke rumah saya.

“Hanya beberapa minit, api mula marak ke lorong empat sebelum memusnahkan seluruh rumah di kawasan kejiranan kami,” katanya antara penduduk yang bertungkus lumus memadamkan kebakaran di kampung itu.

Remaja Nurliyana Abdullah, 15, berkata dia terpaksa melompat keluar dari rumah dan melarikan diri sebaik melihat api berada di hadapan pintu rumah.

“Saya terus melompat kerana tidak boleh berfikir ketika itu apabila melihat api berada di depan pintu rumah.

“Saya cuma sempat capai dokumen penting termasuk sijil lahir untuk diselamatkan," katanya yang berada seorang diri di rumah ketika itu.


NURLIYANA (kiri) bersama ibu dan jiran selepas menyelamatkan diri dalam kebakaran di Kampung Cenderamata 2 di Likas, Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Norasikin Daineh

Sementara itu, Ketua Kampung Likas Utara, Mumin Rasam berkata, pihaknya menganggarkan kira-kira 150 rumah musnah dalam kejadian terbabit.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun seorang penduduk wanita difahamkan melecur ketika menyelamatkan diri dengan terjun ke sungai berikutan api merebak di hadapan rumahnya.

“Namun penduduk terbabit selamat dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Mumin turut memaklumkan Dewan Serbaguna Likas kini dibuka untuk penempatan sementara penduduk yang terjejas.

“Penduduk yang terjejas boleh ke dewan berkenaan untuk penempatan sementara selain memudahkan proses pendaftaran oleh pihak berkaitan,” katanya.

Berita berkaitan

1,000 penduduk hilang tempat tinggal

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 7:17 PM