GAMBAR hiasan
Norrasyidah Arshad
norrasyidah@nstp.com.my


PENYAKIT tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Selangor melepasi paras bahaya pada awal Mei dan minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, pada kedua-dua minggu itu, lebih 300 kanak-kanak negeri ini dijangkiti wabak penyakit terbabit.

Katanya, sekiranya statistik menunjukkan lebih 300 kanak-kanak dijangkiti HFMD, ia dianggap melepasi paras bahaya.

"Pada awal Mei lalu iaitu minggu ke-17, sebanyak 500 kanak-kanak dijangkiti HFMD tetapi jumlah itu menurun pada beberapa minggu selepas itu dan tidak melebihi paras bahaya.

"Bagaimanapun, minggu lalu iaitu minggu ke-26, ia kembali di paras bahaya selepas lebih 400 kanak-kanak dijangkiti HFMD.

"Berdasarkan statistik sepanjang tahun ini, kes HFMD dikesan banyak berlaku sekitar daerah Petaling," katanya kepada NSTP, di Shah Alam, hari ini.

Dr Mariah berkata, setakat minggu ini, pihaknya menerima laporan lebih 100 kanak-kanak sudah dijangkiti HFMD.

Berikutan itu, kerajaan negeri kini giat menjalankan kempen kesedaran kebersihan terutama dalam kalangan ibu bapa dan pengusaha TASKA.

Katanya, kerajaan negeri turut menyarankan supaya setiap pengusaha taska, pusat jagaan dan guru-guru melakukan saringan terhadap kanak-kanak dan pelajar mereka.

"Jika kanak-kanak atau pelajar didapati menghidapi HFMD, mereka perlu memaklumkan perkara itu kepada ibu bapa dan membawa pulang anak masing-masing.

"Kita tahu punca penyakit ini disebabkan faktor kebersihan dan sebab itu kita mahu ibu bapa memantau anak-anak selain mengajar anak teknik membasuh tangan selain memastikan anak-anak sentiasa membasuh tangan sebelum makan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 9:12 PM