PETUGAS PKR, Ujang Johari membawa bendera parti untuk dipasang sempena PRK DUN Sungai Kandis. FOTO Syarafiq Abd Samad
Mohd Azrone Sarabatin dan Mohd Nasaruddin Parzi


TIADA perang bendera dan sepanduk berlaku setakat hari keenam kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Ia sekali gus menjadikan kehangatan suasana PRK kali ini tidak dirasai seperti sebelumnya.

Malah, Barisan Nasional (BN) juga tidak membuka bilik gerakan jentera negeri yang kebiasaannya akan berkampung di kawasan PRK bagi membantu calonnya yang bertanding.

Kebiasaannya BN akan mengerahkan jentera dari seluruh negara untuk berkampung di kawasan PRK, sebagai sebahagian kempen mereka untuk mendekati setiap pengundi.

Pemerhatian sepanjang hari berkempen sejak penamaan calon Sabtu lalu juga mendapati belum ada lagi bendera parti dipasang menghiasi jalan-jalan utama oleh parti politik termasuk PKR.

Sebaliknya, yang ada hanya bendera parti yang kelihatan sudah uzur diletakkan di tiang tepi jalan, dipercayai bendera berkenaan digunakan ketika Pilihan Raya Umum (PRU) Mei lalu.

Di kawasan persimpangan jalan juga, belum kelihatan sepanduk dan kain rentang kempen dipasang, yang kebiasaannya menjadi antara bahan utama 'perang' antara parti politik bertanding, sekali gus memeriahkan suasana PRK.

Hari ini, kedua-dua calon meneruskan program kempen mereka seperti biasa, iaitu sesi ramah mesra dengan pengundi dan masyarakat di kawasan sekolah, pasar pagi dan restoran serta gerai makan.

Calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni, bakal meninjau penduduk dan perusahaan di sekitar Kampung Jawa Kampung Pandan, Kampung Sungai Kandis, Teluk Menegun dan Johan Setia manakala calon BN, Datuk Lokman Noor Adam pula akan seharian dalam program bertemu pengundi setempat di Johan Setia.

PRK Sungai Kandis diadakan selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pertembungan tiga penjuru itu turut membabitkan calon Bebas, K Murthy.

Pada PRU-14, DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan Mat Shuhaimi mempertahankan kerusinya apabila mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari; calon PAS, Mohd Yusof Abdullah; dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin.

Mat Shuhaimi meraih 23,998 undi dengan majoriti 12,480 undi, mengalahkan Kamaruzzaman (11,518 undi), Mohd Yusof (7,573 undi) dan Hanafiah (76 undi).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 9:10 AM