MOHD Affendi bersama anak angkatnya, Puteri Humaira Qistina menujukkan dokumen di dalam simpanan mereka.
HM Digital

Kluang: Seorang wanita yang menyerahkan bayinya selepas dilahirkan pada 15 Januari 2014 di Sungai Udang, Melaka dicari bagi membantu menyelesaikan masalah penyerahan anak angkat secara sah melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Wanita berkenaan menyerahkan bayinya kepada Raja Ahmad Mohamad Raja Sulaiman, 46, dan kanak-kanak itu kini dijaga Mohd Affendi Mohamed Salleh, 45.

Mohd Affendi berkata, bayi berkenaan diserahkan kepada Raja Ahmad yang juga abang iparnya pada 23 Januari 2014 oleh wanita itu sebelum diserahkan kepadanya dan isteri, Raja Zainab Raja Sulaiman, 42, pada 29 Ogos tahun sama.

Menurutnya, ibu bayi perempuan yang diberi nama Puteri Humaira Qistina itu hanya dikenali sebagai Mia Sajat, 41, dan dipercayai masih tinggal di Sungai Udang, tetapi tidak diketahui lokasi sebenar atau kampungnya.

“Pada hari abang ipar menerima bayi itu, ia hanya disertakan satu sijil pendaftaran kelahiran serta surat akuan bersumpah, tetapi tiada sebarang surat pengesahan dikeluarkan JKM menyebabkan ia seperti tidak lengkap serta tidak mengikut prosedur yang betul.

“Tidak habis di situ, abang ipar saya kemudian menyerahkan bayi berkenaan kepada saya dengan dokumen yang ada dan keadaan ini menyebabkan kesukaran untuk mendapatkan dokumen peribadi berkaitan kanak-kanak itut,” katanya di sini, semalam.

Mohd Affendi berkata, dia dan isterinya amat berharap Mia dapat menghubunginya di talian 011-56533010 atau datang sendiri ke Kluang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 11:01 AM