KEADAAN rumah mangsa yang disimbah cat merah di Jitra, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


SEBUAH keluarga hidup dalam ketakutan selepas kediaman mereka di Jitra disimbah cat merah oleh individu tidak dikenali menyebabkan kerugian dianggarkan RM1,000.

Kejadian dipercayai berlaku jam 4 pagi semalam selepas isteri mangsa terdengar bunyi sesuatu pecah, namun tidak mengesyaki apa-apa.

Mereka hanya menyedarinya pada jam 7.30 pagi apabila mangsa, 39, yang berada di dalam rumah dimaklumkan isterinya mengenai rumah mereka disimbah cat.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, lelaki terbabit keluar untuk membuat pemeriksaan sebelum mendapati sebuah motosikal milik anak, dua kereta, dinding rumah dan pagar disimbah cat merah.

Menurutnya, mangsa yang menyedari kejadian itu tampil membuat laporan di Balai Polis Jitra untuk tindakan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati cermin tingkap turut pecah di mana mangsa mengesyaki perkara itu adalah perbuatan khianat.

“Mangsa juga tidak mengetahui punca rumahnya disimbah cat kerana tidak pernah membuat pinjaman daripada mana-mana pihak termasuk along,” katanya.

Katanya, mereka juga mendakwa tidak mempunyai masalah dengan sesiapa mahupun tidak bermusuh.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 2:53 PM