SAIFUDDIN (dua dari kanan) melihat harga sayur-sayuran segar dijual sempena Program Citarasa Malaysia di Tesco Shah Alam, hari ini. FOTO Muhammad Sulaiman.


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengumumkan status Program Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dalam masa terdekat.

Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya sudah menerima maklumat berkaitan KRIM dan memerlukan sedikit masa untuk membuat keputusan.

“Saya sudah terima maklumat dan taklimat daripada pegawai kementerian. Saya sudah bertemu dengan pengusaha kedai rakyat ini dan sudah diberikan maklum balas berkenaan KR1M.

“Keputusan saya nanti hanya ada tiga, pertama sama ada memberhentikannya. Kedua meneruskannya dan ketiga meneruskan dengan melakukan pengubahsuaian,” katanya selepas ditemui pada Program Citarasa Malaysia di Tesco Shah Alam, hari ini.

Ketika ditanya, apakah pengubahsuaian akan dibuat jika kementeriannya mengambil keputusan untuk meneruskan dan menambah baik KR1M, Saifuddin berkata, beliau mempunyai beberapa idea.

“Pengubahsuaian itu termasuk menjenamakan semula. Sampai masanya saya akan maklumkan,” katanya.

Saifuddin berkata, tujuan asal KR1M adalah mewujudkan satu rangkaian kedai runcit yang menjual barangan pada harga rendah berbanding di pasaran.

Beliau berkata, pada kemuncak program berkenaan, ia berjaya wujudkan 185 premis perniagaan, tetapi malangnya model itu tidak mampan, lalu kerajaan sebelum ini menamatkannya.

“Kemudian lahir KR1M2.0 sehingga sekarang mempunyai 52 premis yang sedang diusahakan.

“Namun, apa juga keputusan saya buat di peringkat kementerian, ia sangat mengambil kira tujuan asal yang mesti dipenuhi.

“Harga barangan mesti harga barangan rendah dan munasabah supaya rakyat dapat manfaat,” katanya.

KR1M mula dibuka secara berperingkat pada 2011 bertujuan menawarkan pelbagai jenis barangan keperluan harian pada harga antara 30 hingga 50 peratus lebih murah berbanding kedai dan pasar raya lain.

Bertujuan mengurangkan beban perbelanjaan rakyat Malaysia terutama yang berpendapatan rendah dan menetap di kawasan bandar, ia mempunyai 185 cawangan di seluruh negara sehingga ia ditutup sementara pada September 2017.

KR1M kemudian ditukar dengan KR1M 2.0 dengan penambahbaikan dan dilancarkan pada awal Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 8:51 PM