LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Ahmad Johari Mohd Ali


KERAJAAN Malaysia memohon untuk menjadi pencelah dalam kes saman syarikat pemborong barangan kemas dari Lubnan terhadap isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, berikutan dakwaan syarikat itu bahawa barang kemas miliknya dirampas pihak polis.

Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke ketika ditemui pemberita berkata, mengikut pernyataan tuntutan Global Royalty Trading SAL, syarikat itu mendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan barangan kemas miliknya dirampas dan berada di bawah simpanan pihak berkuasa.

Loke berkata, berikutan dakwaan plaintif dalam pernyataan tuntutan itu, kerajaan menegaskan jika dibuktikan barangan kemas terbabit dirampas berkaitan dengan siasatan bagi perbuatan salah laku jenayah, ia hendaklah dirampas dan menjadi milik kerajaan.

“Mahkamah menetapkan pada 11 Oktober ini untuk mendengar permohonan kerajaan bagi menjadi pencelah dalam kes saman ini," katanya selepas prosiding pengurusan kes di kamar Penolong Kanan Pendaftar Siti Faraziana Zainuddin.

Sementara itu, peguam N Rajivan yang mewakili Rosmah berkata, permohonan pihaknya untuk membatalkan saman itu juga akan didengar pada tarikh sama di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Wong Chee Lin.

Rajivan berkata, pihaknya memohon untuk membatalkan saman berkenaan dengan alasan ia melanggar Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUA).

Rajivan menjelaskan, ia adalah kerana plaintif perlu terlebih dahulu mendapatkan keizinan bertulis daripada Pejabat Peguam Negara sebelum memfailkan saman sivil berkaitan akta berkenaan.

“Alasan kedua ialah tuntutan indemnity (tanggung rugi) oleh plaintif adalah pramatang kerana barangan kemas terbabit hanya dirampas dan belum ada kerugian di pihaknya (plaintif).

“Anak guam kami juga secara salah dinamakan sebagai defendan kerana barangan itu sekarang di bawah jagaan pihak berkuasa dan bukan di bawah jagaannya.

“Kami juga akan mengkaji dokumen berkaitan berhubung permohonan kerajaan Malaysia untuk menjadi pencelah dalam kes ini dan akan menetapkan pendirian kami," katanya.

Peguam Global Royalty, David Gurupathan sementara itu berkata pihaknya tidak akan membantah permohonan kerajaan untuk menjadi pencelah dan dinamakan sebagai pihak dalam kes saman berkenaan.

Global Royalty berpangkalan di Beirut memfailkan saman itu pada 26 Jun lalu dengan mendakwa, Rosmah sebagai pelanggan tetapnya dalam keadaan tertentu ada meminjam beberapa barang kemas dan memulangkan semula.

Plaintif mendakwa, seperti kebiasaan mereka akan menyerahkan secara konsainan barang kemas terhadap defendan mengikut permintaan dan dibuat penilaian serta dipilih sebelum dibeli oleh Rosmah.

Pembayaran akan dibuat melalui defendan sendiri atau pihak ketiga dan barang kemas yang tidak dipilih akan dipulangkan semula kepada plaintif.

Defendan didakwa akan menerima barang kemas daripada plaintif melalui dirinya sendiri, pekerja atau ejen di Kuala Lumpur, Dubai atau Singapura.

Plaintif mendakwa barang kemas yang dihantar diiringi dengan memorandum hantar serah yang menggambarkan barang serta harga barang itu termasuk terma dan syarat tertentu.

Pada 10 Februari lalu, melalui serahan tangan, jurujual/ejen Samer Halimeh dan Maen Shakhshir menyerahkan sebanyak 44 barang kemas kepada defendan.

Defendan ada mengesahkan dan mengakui penerimaan barang itu melalui surat bertarikh 22 Mei lalu.

Plaintif mendakwa, defendan juga mengesahkan secara bertulis bahawa barang itu sudah disita pihak berkuasa Malaysia.

Oleh itu, plaintif memohon perisytiharan bahawa mereka adalah pemilik barang kemas itu menurut undang-undang.

Berita berkaitan

Rosmah disaman tukang emas RM59.8 juta

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 12:05 PM