Farah Suhaidah Othman


KILANG makanan ringan di Chemor, dekat Ipoh diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, selepas dipercayai memasarkan produk makanan menggunakan logo halal palsu.

Dalam serbuan oleh lima anggota KPDNHEP 10 Julai lalu, seorang lelaki berusia 45 tahun dipercayai pengurus kilang turut ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Shamsul Nizam Khalil berkata, bertindak atas maklumat orang awam, pihaknya menyerbu kilang yang sudah beroperasi kira-kira 20 tahun dan memasarkan produk makanan di sekitar negeri ini dan Selangor.

Katanya, siasatan awal mendapati kilang berkenaan yang juga perniagaan keluarga memiliki sijil pengesahan halal pada 2014, namun tamat tempoh pada April 2016.

“Siasatan turut mendapati kilang terbabit memasarkan produk kacang tanah dan makanan ringan menggunakan logo halal tanpa kelulusan daripada mana-mana agensi kerajaan sama ada dalam negara atau luar negara.

“Berikutan itu, KPDNHEP negeri menyita sebanyak 479 bungkusan makanan ringan yang siap dibungkus dan 445 unit yang belum dibungkus serta 59 bungkus kacang tanah goreng.

“Jumlah keseluruhan rampasan berjumlah RM1,198,” katanya pada sidang media di pejabat KPDNHEP negeri, hari ini.


ANTARA produk makanan ringan yang dirampas. FOTO L Manimaran

Shamsul Nizam berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Perenggan 8 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan Seksyen 16 Akta Perihal Dagangan 2011.

Menurutnya, dalam tempoh 1 Januari hingga 10 Julai lalu, sebanyak empat kes membabitkan isu halal disiasat dengan nilai rampasan berjumlah RM3,705.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Shamsul Nizam berkata, pihaknya membuka dua kertas siasatan terhadap sebuah farmasi dan restoran makanan segera membabitkan kesalahan pencatutan selepas penguatkuasaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ditetapkan pada kadar sifar peratus.

“Kedua-dua perniagaan itu disyaki mencatut membabitkan peratus kenaikan dan keuntungan didapati tidak realistik dengan kadar sifar GST,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 2:56 PM